Piala Yusuf sasar tarik jaguh catur dunia ke Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATO Ir Yusuf Abd Wahab ketika menyampaikan ucapan penutupan pada Kejohanan Catur Piala Yusuf 2026 di Pustaka Negeri Sarawak.

PETRA JAYA, 11 Oktober: Persatuan Catur Bahagian Kuching (PCBK) menyasarkan Kejohanan Catur Piala Yusuf berkembang menjadi pertandingan antarabangsa berprestij yang mampu menarik penyertaan jaguh catur dunia, termasuk Magnus Carlsen, ke Sarawak.

Presiden PCBK, Chuang Kuang Hong, menyuarakan aspirasi itu ketika Kejohanan Piala Yusuf 2026 melabuhkan tirainya di Pustaka Negeri Sarawak, semalam. Kejohanan itu menghimpunkan 202 pemain menerusi penyertaan 50 pasukan dan 52 peserta individu.

Kejohanan yang membawa slogan “Membentuk Minda, Melahirkan Juara” itu dianjurkan bagi menyediakan platform persaingan kepada pemain daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang, selain mengembangkan lagi arena catur di Sarawak.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen P.206 Tanjong Manis merangkap Penaung PCBK, Prof. Dato Ir. Yusuf Abd Wahab.

PRESIDEN Persatuan Catur Bahagian Kuching (PCBK), Chuang Kuang Hong, menyampaikan ucapan pada Kejohanan Catur Piala Yusuf 2026 di Pustaka Negeri Sarawak.

Dalam kategori individu keseluruhan, Hendra Supriyadi muncul juara selepas mengumpul 9.5 mata, manakala Edmund Goh Guang Yi dan Syed Ilyas Syed Muhammad Yusuf masing-masing meraih 8.5 mata untuk menduduki tempat kedua dan ketiga.

Wan Mohd Azmie Wan Abd Rahim dan Brilliant Chiew Zhi Cheng melengkapkan senarai lima pemain terbaik selepas masing-masing mengumpul lapan mata.

Bagi kategori berpasukan, Team Liquid yang diwakili Syed Ilyas Syed Muhammad Yusuf, Elaine Chieng Shu Qi dan Joshua Ting Shi Wen muncul juara dengan 22.5 mata.

The Apex Trio menduduki tempat kedua dengan 22 mata, manakala Three Brain Cells di tempat ketiga dengan 21.5 mata. Triple M dan Ninja Warriors turut mengumpul 21.5 mata masing-masing untuk menduduki tempat keempat dan kelima.

PENYAMPAIAN hadiah kepada pemenang Kejohanan Piala Yusuf 2026 yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak.

Kejohanan itu berlangsung selama 10 pusingan menggunakan sistem Swiss. Setiap pasukan terdiri daripada tiga pemain, dengan sekurang-kurangnya seorang daripadanya ialah pemain wanita.

Selain kategori utama, PialaYusuf 2026 turut mempertandingkan kategori bawah 12 tahun, bawah 18 tahun, wanita, veteran, penjawat awam, institusi pengajian tinggi, ahli PCBK dan pemain para.

Dalam kategori bawah 12 tahun, Fidelis Fyron Frankie muncul juara, diikuti Xander Low Zern Thung dan Megan Ho. Bagi kategori bawah 18 tahun, Clement Ung Chee Cheng menduduki tempat pertama, manakala Hii Shieng Jie dan Jason Phua Kie Ern masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Ung Hui Pin menjuarai kategori wanita, diikuti Ambreal Chemenda Kamal dan Elaine Chieng Shu Qi. Kategori veteran pula dimenangi Zulkarnain Matosen, manakala Jeperi Reduan dan Basri Laperei masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori penjawat awam, Khairul Amal Khalid muncul juara, diikuti Morsin Ahmad dan Muhd. Iqbarulhazim Husaini. Benedict Lim Kuan Xun menjuarai kategori institusi pengajian tinggi, manakala Azrul Aziman Azmin dan Amir Muzakkir Azmi masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

GAMBAR kenangan bersama para pemenang Kejohanan Catur Piala Yusuf 2026 yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak semalam.

Jonas Lee Sze Hao menjuarai kategori ahli PCBK, diikuti Isabella Salsabella Ishak dan Joshua Ting Shi Wen. Sementara itu, Ethan Tay Yi Chen muncul juara kategori pemain para, manakala Aqeel Zharif Mohd Khairun Nasir dan Adib Suharman masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Trofi eksklusif kejohanan itu dihasilkan khas oleh Asiana Gallery menggunakan kayu belian, yang melambangkan kekuatan, ketahanan dan semangat juang rakyat Sarawak.

PialaYusuf 2026 mendapat sokongan 17 penaja, termasuk Ibraco Berhad, Sendayan Group of Companies dan PKMM Sarawak. Penganjur menyediakan hadiah wang tunai berjumlah kira-kira RM5,700, selain hadiah tajaan dan cabutan bertuah bernilai RM4,000.

Oleh Afiq Sallehi