SEPANG, 11 Oktober: Penganjuran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Kelima (KHUP5) memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat bagi membendung penipuan pakej haji dan umrah oleh pengendali tidak berlesen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, karnival berkenaan bukan sekadar medan mempromosikan pakej ibadah yang patuh syariah, malah menjadi platform sehenti untuk mendidik bakal tetamu Allah agar membuat pertimbangan yang tepat dan hanya berurusan dengan syarikat yang diiktiraf.
Menurutnya, langkah proaktif itu penting memandangkan pihak berkuasa mengesan pelbagai tawaran pakej yang meragukan di pasaran, termasuk pakej badal haji.
“Sebelum ini, kita mendapati ada pakej badal haji yang ditawarkan pada harga terlalu murah, antara RM2,500 hingga RM5,000. Namun, selepas ditegaskan bahawa kos sedemikian hampir mustahil, kini timbul pula trend pakej badal haji yang mengenakan harga terlampau mahal.
“Oleh itu, kita sentiasa memantau dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang bentuk penipuan yang boleh memperdaya umat Islam di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan KHUP5 di sini hari ini.
Karnival anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) itu merekodkan kehadiran lebih 16,000 pengunjung dan menghimpunkan 34 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen bagi musim haji 1448H.
Zulkifli berkata, kerajaan bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji akan terus memperhebat kempen Tiada Visa, Tiada Haji (No Visa, No Hajj).
Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa Muzakarah Haji Kebangsaan memutuskan bahawa menunaikan ibadah haji tanpa permit atau visa yang sah adalah berdosa di sisi syarak, meskipun ibadah tersebut sah.
Sehubungan itu, beliau menasihati individu yang memperoleh visa haji mujamalah atau furada supaya memilih perkhidmatan daripada 34 syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH bagi menjamin kebajikan, keselamatan dan kelancaran urusan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Musim lepas (1445H) merupakan tahun yang sangat cemerlang bagi Malaysia apabila kita mencatatkan sifar kes penipuan haji, selain berjaya mempertahankan Anugerah Berlian Labbaytukum bagi pengurusan haji terbaik dunia daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya syarikat PJH menerapkan modul penghayatan Maqasid fil Manasik (Maqasid Haji), yang merangkumi aspek kerohanian, fikrah, kefahaman ekonomi, peradaban dan kenegaraan dalam kursus persediaan jemaah. – Bernama





