Bomba Betong tangkap ular di tempat penyimpanan kayu premis perabot

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba bertindak pantas menangkap seekor ular yang ditemui di tempat penyimpanan kayu di premis perabot dan perkakasan. Foto BBP Betong

BETONG, 10 Oktober: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menangkap seekor ular yang ditemukan di kawasan penyimpanan kayu sebuah premis perabot dan perkakasan, bersebelahan Eng Motor, semalam.

Ketua BBP Betong, PPgB Muhd. Badrulamin Mohd. Fodzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.21 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dengan sebuah Jentera Penyelamat Kebakaran (FRT) bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pelapor memaklumkan terdapat seekor ular di kawasan penyimpanan kayu,” katanya dalam laporan operasi.

Beliau berkata, anggota operasi yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian menjalankan operasi menangkap ular menggunakan penyepit dan pencerut ular.

Operasi itu berjaya diselesaikan dengan selamat sebelum ular berkenaan dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat, pasukan bomba menamatkan operasi.

Dalam pada itu, BBP Betong mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap atau mengendalikan ular sendiri bagi mengelakkan risiko kecederaan.

Sebaliknya, orang ramai dinasihatkan mendapatkan bantuan pihak bomba sekiranya berdepan situasi seumpama itu.

Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada BBP Betong menerusi talian 083-471591 atau WhatsApp 019-2483975.

Oleh Adi Safarman