Pokok gergasi tumbang, Perodua Bezza nyaris dihempap di Jalan Selulap-Spaoh

Facebook
WhatsApp
SEBATANG pokok gergasi tumbang secara tiba-tiba dan nyaris menghempap sebuah Perodua Bezza di Jalan Selulap-Spaoh. Foto: APM Spaoh

SPAOH, 11 Oktober: Detik cemas menimpa dua individu apabila sebatang pokok gergasi tumbang secara tiba-tiba dan nyaris menghempap sebuah Perodua Bezza di Jalan Selulap-Spaoh, pagi tadi.

Kejadian sekitar 11.22 pagi itu menyebabkan laluan utama di kedua-dua arah menuju Spaoh-Betong terhalang sepenuhnya, sekali gus menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh, kereta Perodua Bezza berkenaan dinaiki seorang lelaki dewasa bersama seorang penumpang wanita ketika pokok besar itu tumbang di hadapan mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa bernasib baik apabila terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum menggerakkan Skuad ASPA 02 Charlie, yang terdiri daripada empat anggota diketuai Sarjan Pertahanan Awam (PA) Kamarrul Badarudin, ke lokasi kejadian.

Berikutan saiz pokok yang terlalu besar, APM Spaoh turut mendapatkan bantuan tambahan daripada APM Betong bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa orang awam yang bersama-sama membantu memotong dan mengalihkan pokok berkenaan dari laluan utama.

Hasil tindakan pantas dan kerjasama semua pihak, pokok yang menghalang jalan berjaya dialihkan, sekali gus membolehkan laluan dibuka semula kepada semua jenis kenderaan.

Operasi pembersihan itu ditamatkan secara rasmi pada 1.15 tengah hari selepas laluan disahkan selamat untuk digunakan semula.

Dalam pada itu, orang ramai yang berdepan kecemasan boleh menghubungi APM Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman