KUCHING, 11 Oktober: Pengurniaan gelaran Dato’ kepada Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah, menjadi dorongan untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik, pembangunan bakat dan sumbangan universiti kepada Sarawak.
Firdaus berkata, pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS), yang membawa gelaran Dato’, bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya satu amanah untuk terus berkhidmat kepada institusi pendidikan tinggi dan masyarakat.
Dalam satu kenyataan media sempena pengurniaan itu pada sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, beliau berkata penghormatan berkenaan diterima dengan penuh rasa rendah hati dan kesyukuran.
“Pengurniaan ini bukan untuk dibanggakan sebagai pencapaian peribadi, tetapi sebagai amanah dan dorongan untuk terus berkhidmat dengan lebih ikhlas, istiqamah dan bersungguh-sungguh,” katanya.
Menurutnya, UiTM Cawangan Sarawak perlu terus memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan serta melahirkan generasi profesional yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing.
Beliau berkata, usaha memperkukuh kecemerlangan universiti turut memerlukan kerjasama berterusan antara warga universiti, agensi kerajaan, rakan industri dan komuniti.
Katanya, sokongan serta kerjasama semua pihak penting dalam memperluas jaringan strategik, memperkasakan bakat dan menyokong agenda pembangunan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak atas pengurniaan darjah kebesaran berkenaan serta kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan semua pihak yang memberikan kepercayaan serta sokongan sepanjang perjalanan kerjayanya.
Penghargaan turut ditujukan kepada keluarga, khususnya isteri, Siti Nur Aishah Jaafar, anak-anak serta kedua-dua ibu bapanya, Kevin Akeu Baeh dan Maria Rening Tibu, yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasi.
Firdaus menegaskan komitmennya untuk terus memikul tanggungjawab menerajui UiTM Cawangan Sarawak dengan penuh dedikasi demi kecemerlangan universiti, pembangunan negeri dan kemajuan negara.
Oleh Adi Safarman





