Belanjawan 2027: Pencarum Lindung 24 Jam, Lindung Kendiri nikmati pelepasan cukai RM150

Facebook
WhatsApp
PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso).

KUALA LUMPUR, 11 Oktober: Pencarum yang kekal dalam Skim Lindung 24 Jam serta pencarum wajib Skim Lindung Kendiri bakal menikmati pelepasan cukai tambahan sehingga RM150 menerusi Belanjawan 2027.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan memaklumkan bahawa inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 8.5 juta pencarum Lindung 24 Jam serta 1.7 juta pencarum Lindung Kendiri.

“Dalam tempoh empat bulan pertama pelaksanaan Lindung 24 Jam, skim ini merekodkan 10,424 tuntutan atau purata 85 kes sehari, sekali gus mencerminkan kepentingan perlindungan yang melangkaui waktu bekerja bagi menghadapi risiko dalam kehidupan seharian.

“Insentif ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai individu mendapatkan perlindungan melalui Lindung 24 Jam, termasuk mereka yang sebelum ini memilih untuk menarik diri daripada skim berkenaan agar kembali menyertainya, di samping memperluas penyertaan dalam Lindung Kendiri,” menurut kenyataan itu.

Belanjawan 2027 turut memperuntukkan insentif caruman padanan Perkeso sebanyak 35 peratus kepada pekerja ekonomi gig dalam sektor e-hailing dan p-hailing. Kadar itu akan meningkat kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung sebahagian caruman pekerja.

Menurut Perkeso, insentif caruman padanan sebanyak 70 peratus turut disediakan kepada lebih 200,000 individu yang bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori bagi meringankan beban caruman dan memperluas akses kepada perlindungan keselamatan sosial.

“Perkeso menyambut baik inisiatif ini dan akan memastikan segala persiapan operasi serta sistem dilaksanakan dengan teratur bagi membantu individu yang bekerja sendiri mencarum di bawah Lindung Kendiri dan memanfaatkan insentif padanan caruman yang ditawarkan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, lebih 40,000 imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir akan menikmati perlindungan Perkeso menerusi pembiayaan oleh Lembaga Tabung Haji.

Perkeso turut menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan menerusi Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) kepada pemandu kenderaan berat perdagangan berusia 40 tahun ke atas. Inisiatif itu bertujuan mengesan masalah kesihatan lebih awal dan mengurangkan risiko ketika memandu. – Bernama