APM Saratok tangkap sawa batik 0.6 meter di garaj motosikal

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang 0.6 meter yang menyelinap masuk ke garaj motosikal di sebuah tempat penjualan buah sawit di Simpang Saratok. Foto: APM Saratok

SARATOK, 11 Oktober: Kemunculan seekor ular sawa batik di garaj motosikal di kawasan tempat penjualan buah sawit, Simpang Saratok, mencetuskan kebimbangan orang awam sebelum berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), semalam.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 1.30 petang yang memaklumkan mengenai kelibat ular di lokasi berkenaan.

Menurutnya, seramai tiga anggota daripada Skuad Aspa 02 dikerahkan ke lokasi dan tiba pada 1.45 petang selepas menempuh perjalanan sejauh lapan kilometer.

“Setibanya di lokasi, anggota mengesahkan kehadiran seekor ular sawa batik di garaj motosikal sebelum menjalankan operasi menangkap reptilia itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota terlebih dahulu memastikan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dipakai sebelum operasi dijalankan bagi menjamin keselamatan sepanjang proses menangkap ular berkenaan.

Operasi yang menggunakan peralatan khas termasuk penyepit ular itu berjaya menumpaskan ancaman berkenaan dengan penangkapan seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 0.6 meter.

Operasi selesai pada 1.50 petang tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan dalam maklumat operasi.

APM Saratok turut mengingatkan orang awam supaya tidak cuba menangkap atau menghampiri ular yang ditemui, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Oleh Adi Safarman