SINGAPURA, 11 Oktober: Firefly membatalkan semua penerbangan berjadual antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Seletar di Singapura dari 10 hingga 12 Oktober sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan berikutan keadaan cuaca dan jerebu.
Dalam satu makluman, syarikat penerbangan itu memaklumkan pembatalan berkenaan melibatkan enam perkhidmatan penerbangan harian, iaitu FY3122 dan FY3123, FY3124 dan FY3125, FY3126 dan FY3127, FY3128 dan FY3129, FY3130 dan FY3131 serta FY3132 dan FY3133.
“Penumpang yang terjejas sedang dihubungi dan akan dipindahkan ke penerbangan Malaysia Airlines yang tersedia bagi laluan Kuala Lumpur-Singapura, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk.
“Penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan menggunakan penerbangan gantian itu layak menerima bayaran balik penuh yang akan dikreditkan melalui kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari bekerja,” menurut makluman bertarikh 10 Okt itu.
Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan situasi cuaca yang berubah-ubah.
Menurut syarikat itu, kemas kini lanjut mengenai jadual penerbangan akan dimaklumkan terus kepada pelanggan yang terjejas. – Bernama





