Bomba Betong gegas dua lokasi, kebakaran rumah panjang rupanya palsu

Facebook
WhatsApp
PASUKAN bomba terpaksa bergerak ke dua lokasi berasingan selepas menerima laporan kebakaran rumah panjang di kawasan Skrang dan Betong, namun kedua-dua lokasi didapati tidak berlaku sebarang kebakaran. Foto BBP Betong

BETONG, 11 Oktober: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke dua lokasi berasingan susulan laporan kebakaran rumah panjang di kawasan Skrang dan Betong semalam, namun pemeriksaan mendapati tiada kebakaran berlaku di kedua-dua lokasi berkenaan.

Ketua BBP Betong, PPgB Muhd. Badrulamin Mohd. Fodzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.03 malam berhubung kebakaran yang dilaporkan berlaku di sebuah rumah panjang di Jalan Engkilili, Kampung Pelasok, Skrang.

Menurutnya, jentera bersama anggota bomba berlepas pada 8.04 malam dan tiba di lokasi pertama pada 8.31 malam sebelum pemeriksaan dijalankan seminit kemudian.

Bagaimanapun, pemeriksaan di lokasi berkenaan mendapati tiada kebakaran seperti yang dilaporkan.

Beliau berkata, pasukan operasi kemudian menerima maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Sarawak bahawa satu lagi lokasi yang dilaporkan terletak di Kampung Pelasok Mugu, Betong, berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong.

Pasukan bomba kemudian bergerak ke lokasi kedua, namun pemeriksaan sekali lagi mendapati tiada kebakaran berlaku.

Pihak polis yang dianggotai empat anggota serta dua petugas Kementerian Kesihatan (KKM) turut berada di lokasi bagi membantu mengesahkan keadaan.

Susulan pemeriksaan di kedua-dua lokasi, pasukan operasi melaporkan kepada PGO Sarawak bahawa tiada kebakaran berlaku dan panggilan kecemasan berkenaan disyaki sebagai panggilan palsu.

Operasi yang diketuai PBK I Shahrulnizam Su’ai itu ditamatkan pada 8.50 malam, dengan keseluruhan pergerakan melibatkan jarak kira-kira 25 kilometer.

Kejadian itu menjadi peringatan bahawa panggilan kecemasan palsu bukan sahaja membazirkan masa dan sumber pasukan penyelamat, malah berpotensi melambatkan bantuan kepada mangsa sebenar yang memerlukan tindakan segera.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bertanggungjawab ketika menghubungi talian kecemasan dan tidak membuat laporan palsu yang boleh menjejaskan operasi menyelamat.

Oleh Adi Safarman