KUALA LUMPUR, 11 Oktober: Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan serta pengenalan gaji permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, berpotensi meningkatkan kuasa beli rakyat, memperkukuh produktiviti dan menambah baik struktur penggajian negara.
Pensyarah dan wakil kesatuan sekerja berpendapat inisiatif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menerusi Belanjawan 2027 pada Jumaat dapat memastikan ganjaran lebih setimpal dengan kelayakan dan kemahiran pekerja, sekali gus meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohd Rahim Khamis berkata pembayaran gaji setimpal dengan kelayakan dan kemahiran pekerja dapat mendorong peningkatan produktiviti, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Apabila gaji dibayar setimpal dengan kelayakan dan kemahiran yang dimiliki pekerja akan meningkatkan hasil produktiviti mereka seterusnya mereka akan menikmati hasil pendapatan selaras dengan apa yang telah hasilkan dan secara tidak langsung akan memberi satu impak kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata gaji permulaan RM2,500 juga berpotensi merapatkan jurang antara kelayakan akademik dengan pendapatan graduan dan pekerja separa mahir, selain menggalakkan tenaga kerja tempatan terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Turut senada, pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata kenaikan gaji minimum sebanyak RM300 atau kira-kira 17.6 peratus itu berpotensi merangsang permintaan domestik kerana pekerja berpendapatan rendah lazimnya membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk keperluan harian.
“Oleh itu, kenaikan gaji boleh merangsang permintaan domestik, khususnya dalam sektor makanan, peruncitan, pengangkutan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata majikan pula perlu meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan latihan pekerja, manakala sokongan seperti pembiayaan pendigitalan dan latihan semula penting bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyesuaikan operasi dengan peningkatan kos buruh.
Ketua Jabatan di Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nor Wahiza Abdul Wahat berkata kenaikan gaji minimum dapat meningkatkan kesejahteraan kewangan dan psikologi pekerja.
“Selain itu, dalam pengurusan sumber manusia, ganjaran yang lebih munasabah merupakan antara faktor penting untuk mengurangkan kecenderungan pekerja meninggalkan organisasi, khususnya dalam sektor yang mengalami kadar pertukaran pekerja yang tinggi,” katanya.
Bagi presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, pelaksanaan dasar penggajian baharu perlu mengambil kira perlindungan pekerja serta kemampuan majikan, khususnya PMKS.
“Pada masa sama, UNI-MLC berpandangan bahawa pelaksanaan dasar penggajian baharu ini memerlukan penelitian menyeluruh bagi memastikan kepentingan pekerja terus dilindungi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata rundingan tripartit antara kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja juga penting bagi memperhalusi pelaksanaan dasar itu serta mengimbangi kebajikan pekerja dengan keperluan pembangunan ekonomi negara.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Anwar berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa pada Jun 2027, satu langkah yang memanfaatkan lebih empat juta pekerja.
Anwar berkata PMKS dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu tersebut untuk memberi ruang kepada mereka menyesuaikannya dengan model perniagaan masing-masing. – Bernama





