KUALA LUMPUR, 11 Oktober: Belanjawan 2027 menawarkan peluang untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing Malaysia menerusi industri bernilai tinggi, inovasi teknologi dan integrasi serantau yang lebih mendalam, menurut Affin Bank Bhd.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Wan Razly Abdullah berkata belanjawan itu dibentangkan pada masa yang amat penting ketika Malaysia sedang mengharungi perubahan landskap geopolitik, corak perdagangan global yang terus berubah dan tekanan kos yang berterusan.
“Dengan ekonomi diunjurkan berkembang antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, peralihan kepada industri bernilai tinggi dan inovasi teknologi berpotensi menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan memperkenalkan inisiatif Sukuk Simpanan Runcit Bertoken, sambil berkata langkah itu akan memperluas akses kepada peluang pelaburan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan Islam.
Beliau berkata inisiatif itu berpotensi membuka peluang kepada Affin Islamic untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap sukuk dan pembiayaan patuh syariah, khususnya dalam sektor seperti tenaga, utiliti dan pusat data yang sedang berkembang pesat.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan ASEAN OCBC Lavanya Venkateswaran berkata usaha pengukuhan fiskal Malaysia pada 2027 bergantung pada keupayaannya mengurus tekanan perbelanjaan yang semakin meningkat dan mengharungi ketidaktentuan luaran.
Beliau berkata risiko ekonomi semakin meningkat daripada ketidaktentuan luaran sehinggalah kepada tekanan politik domestik, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kerajaan mampu mencapai sasaran pengukuhan fiskalnya.
“Langkah meningkatkan hasil dilihat lebih tertumpu kepada komoditi berbanding usaha memperluas asas hasil, dengan sebahagian kekurangan hasil susulan daripada pelarasan cukai pendapatan dijangka diimbangi oleh peningkatan sumbangan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada RM27 bilion pada 2026 dan RM32 bilion pada 2027,” katanya.
Katanya tekanan perbelanjaan juga kekal tinggi berikutan bil subsidi yang terus melonjak, terutamanya jika harga minyak kekal tinggi, di samping keperluan untuk perbelanjaan operasi yang lain.
“Keadaan ini mengehadkan ruang untuk mengurangkan defisit fiskal secara meyakinkan pada 2027,” katanya sambil menambah unjuran asas OCBC menjangkakan defisit fiskal tersasar sebanyak 0.2 hingga 0.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027. – Bernama




