SKUAD Kuching City FC berjaya mengejutkan pendahulu Liga Premier, Sarawak United FC 1-0 dalam aksi yang penuh dramatik di Stadium Pasir Gudang, petang semalam.
Pemain tengah gantian Kuching City, Mohamad Aliff Hassan muncul wira kepada pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84.
Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang turun dengan misi memburu mata penuh dan berikrar memberi tentangan sengit kepada pelawat untuk memastikan pasukan bimbingan E Elavarasan tidak mencuri sebarang mata.
Seawal minit ke-12 tuan rumah hampir-hampir mencipta gol pertama menerusi sepakan percuma Joseph Kalang Tie yang ditanduk kemas Amir Amri Salleh namun sempat diselamatkan penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee.
Tersentak dengan keadaan cemas itu, Sarawak United terus menggandakan usaha dengan mencipta peluang untuk memecah kubu tuan rumah diketuai penjaga gol, Mohd Iqbal Mohd Suhimi yang bertindak cemerlang menepis percubaan berbahaya barisan serangan Sarawak United.
Kecemerlangan Mohd Iqbal terbukti apabila beliau berjaya menghalang gerakan berbahaya daripada Uche Agba yang melakukan rembatan leret pada minit ke-20 selepas menerima umpanan daripada Sandro Da Silva.
Bersambung babak kedua pula, memperlihatkan tempo permainan yang ditunjukkan Sarawak United agak perlahan dan banyak memberi peluang skuad Kuching City untuk melakukan serangan balas, namun gagal menemui sentuhan gol.
Kuching City mendapat satu peluang terbaik untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi percubaan bahaya Syazmin Wahab pada minit ke-58 namun Sharbinee Allawee mudah menangkap bola rembatan tersebut.
Mohd Iqbal sekali lagi bertindak cemerlang apabila tangkas merebahkan badan dengan menafikan peluang yang hadir melalui rembatan leret Sandro pada minit ke-73.
Pemain gantian Kuching City, Mohamad Aliff Hassan memecah kebuntuan buat pasukannya apabila menjaringkan gol selepas melakukan rembatan yang menewaskan Sharbinee Allawee ketika aksi berbaki tujuh minit untuk ditamatkan.
Keputusan 1-0 kekal hingga tamat masa kedua perlawanan, sekaligus perlawanan ‘Derby Kenyalang’ itu menyaksikan Kuching City berjaya melunaskan dendam selepas menerima kekalahan 0-2 pada pusingan pertama Liga Premier yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Mac lalu.
Kekalahan Sarawak United FC itu menyaksikan pemburuan kejuaraan liga kembali terbuka antara skuad kendalian E Elavarasan dan Negeri Sembilan FC, tatkala anak didik K Devan hanya ketinggalan dua mata dengan Sarawak United FC menghimpun 37 mata.
Dengan kemenangan Kuching City itu, berjaya melonjak naik satu tangga di kedudukan kelapan Liga Premier selepas mengumpul sebanyak 21 mata.
Oleh ADI SAFARMAN