LUBOK ANTU, 10 Oktober: Sebanyak 21 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman–Sarikei berhampiran Engkilili, semalam.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, operasi bersepadu itu turut menyaksikan pemeriksaan terhadap 115 kenderaan pelbagai jenis dan 135 individu bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membendung kegiatan jenayah di kawasan berkenaan.
Operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit, dengan kekuatan 13 anggota polis daripada pelbagai pangkat dan cawangan.
Pelaksanaan operasi itu bertujuan mengurangkan kes jenayah indeks, mencegah serta membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah, selain mempergiat penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.

Pemeriksaan terhadap kenderaan dan individu turut dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, selain membantu mengesan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
IPD Lubok Antu menegaskan komitmennya untuk meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat di daerah itu sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman jenayah.
Orang ramai turut diseru supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat serta aman untuk semua.
Oleh Adi Safarman




