SIMANGGANG, 9 Oktober: Pasukan Simanggang Warrior dari Batalion 23 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman muncul juara keseluruhan Ujian Kemahiran Menembak (UKM) Piala Komander Briged Sarawak PGA 2026 yang berlangsung di Lapang Sasar Pistol, Batalion 23 PGA Sri Aman, kelmarin.
Menurut kenyataan Briged Sarawak PGA, pertandingan tersebut menyaksikan persaingan sengit antara warga Briged Sarawak PGA menerusi dua acara utama iaitu Center Fire dan Falling Plate.
Penganjuran UKM berkenaan bertujuan menguji tahap ketepatan, kepantasan, kawalan emosi, disiplin serta kemahiran menembak peserta, selain memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggota dalam melaksanakan tugasan.
Dalam acara Center Fire Berpasukan, Simanggang Warrior dari Batalion 23 PGA Sri Aman meraih tempat pertama, diikuti Kenyalang Marksman dari Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA di tempat kedua dan Seahorse 12 dari Batalion 12 PGA Miri di tempat ketiga.
Bagi kategori Center Fire Individu, Sjn Raymond Isot daripada Kenyalang Marksman muncul juara, manakala Koperal Mohd Amer Sidik dari Kuching Hunter, Batalion 11 PGA Batu Kawah, menduduki tempat kedua.
Tempat ketiga pula diraih ASP Paul Marcos Aeron daripada Simanggang Warrior, Batalion 23 PGA Sri Aman.
Sementara itu, bagi acara Falling Plate Berpasukan, Team Alpha 10 dari Batalion 10 PGA Sibu muncul juara, diikuti Team Simanggang Warrior di tempat kedua dan Team Seahorse 12 di tempat ketiga.
Dalam kategori VVIP Falling Plate, Team Rover yang diketuai Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai, muncul juara, manakala Team Rover Minor yang diketuai Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Rosdi Inai, menduduki tempat kedua.
Bagi kategori VVIP Center Fire, ACP Rosdi Inai muncul juara, diikuti Pegawai Pemerintah Batalion 23 PGA Sri Aman, Superintenden Frediel Nyambong di tempat kedua dan SAC Datuk Lim Bak Phai di tempat ketiga.
Keputusan keseluruhan menyaksikan Simanggang Warrior dinobatkan sebagai juara, manakala Alpha 10 dari Batalion 10 PGA Sibu di tempat kedua dan Seahorse 12 dari Batalion 12 PGA Miri di tempat ketiga.
Kenyalang Marksman dari Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA pula menduduki tempat keempat, manakala Kuching Hunter dari Batalion 11 PGA Batu Kawah Kuching melengkapkan senarai lima pasukan terbaik.
Menurut kenyataan itu, pertandingan berkenaan bukan sekadar menjadi medan menguji ketepatan dan kecekapan menembak, malah menjadi platform memperkukuh disiplin, semangat berpasukan, daya saing serta tahap kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi pelbagai bentuk penugasan.
Briged Sarawak PGA turut merakamkan tahniah kepada semua pasukan dan peserta yang menunjukkan prestasi, disiplin serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang pertandingan.
Oleh Adi Safarman





