SIBU, 9 Oktober: Peningkatan peruntukan pembangunan kepada Sarawak sebanyak RM16.2 bilion dalam Belanjawan MADANI 2027 bakal memberi manfaat kepada rakyat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, peruntukan itu bersama pelbagai inisiatif pendidikan yang diumumkan Kerajaan Persekutuan mampu meningkatkan kemudahan asas serta memperluas peluang pendidikan kepada anak-anak Sarawak
Menurutnya, peruntukan RM3.3 bilion bagi prasarana asas desa dijangka membantu meningkatkan kemudahan bekalan air, elektrik, lampu jalan kampung dan infrastruktur komuniti.
“Saya berharap pelaksanaan projek prasarana ini dapat dilakukan dengan berkesan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar,” jelasnya ketika mengulas Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Ahmad Johnie berkata, tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran Sarawak dan Sabah pula dijangka meringankan beban kewangan keluarga serta membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, khususnya dari luar bandar, untuk melanjutkan pengajian ke universiti.
Katanya, Bantuan Awal Persekolahan turut dinaikkan kepada RM200 berbanding RM150 sebelum ini, dengan peruntukan RM1 bilion yang memberi manfaat kepada 5.2 juta murid di seluruh negara.
“Bantuan itu dapat membantu ibu bapa menampung kos persediaan persekolahan anak-anak, termasuk pembelian pakaian, kasut, alat tulis dan keperluan pembelajaran lain,” ujarnya.
Beliau berkata, inisiatif FlySiswa MADANI 2027 turut menyaksikan peningkatan bantuan tiket penerbangan pelajar daripada RM400 kepada RM500, sekali gus membantu meringankan kos perjalanan lebih 60,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Selain itu, elaun murid berkeperluan pendidikan khas dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, yang dijangka memanfaatkan 150,000 murid termasuk di Sarawak, dengan peruntukan RM300 juta bagi membantu menampung kos persekolahan dan keperluan harian,” katanya lagi.
Ahmad Johnie merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peningkatan peruntukan pembangunan kepada Sarawak kepada RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion pada 2026, bagi memperkukuh infrastruktur asas dan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar.
“Tema Belanjawan 2027, “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, mencerminkan aspirasi kerajaan untuk memajukan negara sambil terus menjaga kebajikan rakyat, termasuk memastikan pembangunan infrastruktur asas dan bantuan dapat dinikmati penduduk di kawasan desa serta pedalaman Sarawak,” ujar beliau.
Oleh Akun Giman





