Kerajaan digesa salur bantuan segera kepada keluarga mangsa nahas helikopter FDS

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

MIRI, 9 Oktober: Kerajaan Persekutuan digesa menyediakan bantuan kewangan segera serta sokongan kebajikan jangka panjang kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, pada 8 September lalu.

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, keluarga mendiang Alexson Adit Henry dan Jessie Paya Jok serta keluarga Kapten Zainol Afiq telah menyuarakan kebimbangan mengenai keperluan bantuan kewangan segera, selain ketidakjelasan berhubung pampasan dan faedah yang layak diterima.

Sehubungan itu, beliau telah mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, bagi memohon pakej bantuan lebih menyeluruh untuk semua keluarga yang terjejas.

“Antara cadangan yang dikemukakan termasuk bantuan kewangan khas segera, bantuan sara hidup sementara, mekanisme bantuan sehenti serta penyediaan maklumat bertulis mengenai kelayakan, jumlah bayaran dan tempoh pemprosesan tuntutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chiew turut menggesa kerajaan menilai semula perlindungan kebajikan petugas FDS, termasuk aspek insurans, pampasan kematian dan hilang upaya, elaun risiko serta jaminan kebajikan tanggungan.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik pengumuman bantuan RM100,000 kepada setiap keluarga mangsa oleh kerajaan Sarawak, selain bantuan pendidikan untuk anak-anak mangsa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan juga perlu mempertimbangkan bantuan tambahan bagi meringankan beban keluarga yang terjejas.

Menurutnya, keluarga mangsa tidak seharusnya dibiarkan berdepan ketidakpastian dalam menguruskan kebajikan dan masa depan selepas kehilangan insan tersayang yang terkorban ketika menjalankan tugas demi kepentingan rakyat.

Oleh Liong Chai Ling