KUALA LUMPUR, 10 Oktober: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan melabur sebanyak RM2 bilion untuk memperkasa syarikat bumiputera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, umpamanya Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) akan membantu syarikat bumiputera menuju penyenaraian awam dan memperkukuh pemilikan hartanah strategik.
“Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) juga mewujudkan Dana Ciptawan berjumlah RM250 juta untuk menyokong pertumbuhan syarikat pertengahan bumiputera,” kata Anwar semasa membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, selain itu, taman solar berpusat untuk bangunan kerajaan akan dibangunkan dengan pelaburan RM1.5 bilion.
“Ini turut memberi peluang kepada syarikat bumiputera pembinaan, kejuruteraan dan penyelenggaraan.
“Melalui projek solar berskala besar 6 (LSS6), 150 megawatt dikhususkan kepada syarikat bumiputera bagi menyokong mereka dalam industri tenaga bersih,” kata beliau.
Anwar berkata, Program 10 Juara Bumiputera diteruskan dengan peruntukan RM40 juta bagi membangunkan 15 syarikat berpotensi menjelang 2027. – Bernama





