KUCHING, 9 Oktober: Seorang lelaki berusia 53 tahun dikhuatiri hilang selepas keluar berburu seorang diri di kawasan hutan berhampiran Kampung Emperoh Jambu, Jalan Padawan, pada 7 Oktober lalu.
Mangsa, Christie Fidelis Batest, dilaporkan keluar dari rumahnya sekitar 7.30 malam dengan membawa selaras senapang patah untuk berburu di kawasan hutan kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.
Menurut laporan Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, PPgB Mohammad Imran Sabri, motosikal jenis Modenas berwarna biru milik mangsa ditemukan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, adik mangsa, Marthia Batest, menyedari abangnya belum pulang sehingga 5.00 petang pada 8 Oktober sebelum berusaha mencari mangsa di kawasan sekitar dan bertanya kepada jiran, namun gagal menemukannya.
Selepas pencarian awal tidak membuahkan hasil, adik mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ketua kampung, Bonnie atau Boniface Lasek, yang kemudian menghubungi pasukan bomba sukarela untuk mendapatkan bantuan.
Marthia turut membuat laporan polis di Balai Polis Siburan pada 9.31 malam hari yang sama.
Mohammad Imran berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.50 pagi 9 Oktober sebelum anggota dari BBP Siburan tiba di lokasi pada 9.38 pagi.
Seramai lapan anggota bomba digerakkan dalam operasi berkenaan dengan bantuan sebuah jentera CFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama dimulakan dengan pasukan bomba mendapatkan maklumat di lokasi serta menunggu arahan pihak polis berhubung pelaksanaan operasi.
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok dan penduduk kampung turut berada di lokasi bagi membantu usaha berkenaan.
Mangsa dilaporkan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan jantung, manakala pakaian terakhir yang dipakainya belum diketahui.
Mangsa masih belum ditemukan setakat ini.
Oleh Afiq Sallehi





