BAU, 8 Oktober: Polis sedang menyiasat kes kehilangan kabel dan peralatan komunikasi dari sebuah menara telekomunikasi Sacofa di Site Duyoh 01, Kampung Duyoh, di sini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, laporan polis dibuat sekitar 1.13 petang hari ini selepas seorang juruteknik mendapati beberapa kabel dan peralatan komunikasi berjenama Huawei hilang dari tapak berkenaan.
Beliau berkata, antara barangan yang dilaporkan hilang ialah enam larian kabel kuasa RRU sepanjang 100 meter, tiga larian kabel CPRI mod tunggal sepanjang 100 meter, kabel berperisai empat teras sepanjang 13 meter, kabel berperisai empat teras sepanjang enam meter serta 120 unit pengapit yang dilaporkan rosak.

“Tapak tersebut terletak kira-kira 100 meter dari jalan utama di kawasan berbukit yang dikelilingi hutan dan tiada kediaman berhampiran. Walaupun tapak berpagar, tiada kamera litar tertutup (CCTV) atau pengawal keselamatan disediakan,” katanya.
Mohd Haide berkata, polis percaya suspek mungkin memasuki tapak berkenaan melalui lubang pada pagar.
Pengadu, seorang juruteknik berusia 26 tahun yang bekerja dengan East Field Technology Sdn Bhd, kontraktor kepada Huawei Sdn Bhd, baru berkhidmat selama empat bulan dan tidak pernah ke tapak berkenaan sebelum ini.
Beliau berkata, tiada saksi kejadian dan pengadu juga tidak mengesyaki mana-mana individu tertentu terlibat.
“Percakapan pengadu telah dirakam, manakala pemeriksaan di tempat kejadian telah dijalankan. Gambar turut diambil dan rajah kasar lokasi disediakan. Arahan kepada anggota detektif juga telah dikeluarkan bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.




