LAWAS, 8 Oktober: Sarawak berharap Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan lebih besar bagi sektor pendidikan di negeri ini menerusi Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peruntukan tambahan itu penting bagi membolehkan lebih banyak sekolah di Sarawak dinaik taraf dan dibaik pulih, khususnya sekolah yang mengalami kerosakan serta memerlukan kemudahan lebih baik.
Menurut beliau, selain aspek peruntukan, pengurusan dan perancangan sektor pendidikan juga perlu diberi perhatian dengan memastikan Sarawak dilibatkan secara langsung dalam proses berkenaan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keperluan pendidikan di negeri ini dapat ditangani secara lebih berkesan, termasuk penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Jadi, keperluan untuk peruntukan lebih besar begitu penting sekali dan kedua, dari segi pengurusan, pengurusan itu haruslah diselaraskan dengan keperluan di Sarawak kerana kita adalah negeri yang terbesar.
“Keperluan dari segi jawatan untuk kenaikan pangkat juga perlu diberi tumpuan, bukan sekadar untuk memenuhi tenaga pengajar yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Belipat, di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata,kerajaan Sarawak telah membelanjakan peruntukan yang besar bagi membantu pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi di negeri ini.
Beliau menjelaskan, bagi Bahagian Limbang sahaja, sebanyak RM160 juta telah diperuntukkan menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk meningkatkan kemudahan pendidikan.

Peruntukan itu merangkumi pembinaan semula sekolah uzur, kerja membaik pulih bilik darjah serta pembaikan dan pembinaan kediaman guru, selain keperluan infrastruktur pendidikan yang lain.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan sektor pendidikan di Sarawak tidak boleh dipandang ringan.
Sementara itu, dalam lawatan berkenaan, Awang Tengah turut meluluskan peruntukan melalui NRDA bagi membaik pulih dewan makan dan dewan utama SK Belipat.
Beliau juga meluangkan masa meninjau keadaan bilik darjah serta beramah mesra dengan warga pendidik sekolah berkenaan.
Oleh Adeng Edrus




