KUCHING, 8 Oktober: Kualiti udara di Sarawak kekal pada tahap sederhana setakat 9.00 malam ini dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di 21 stesen pemantauan antara 61 hingga 97.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Belaga mencatat penurunan paling ketara berbanding 4.00 petang, iaitu 21 mata daripada 87 kepada 66.
Pada 9.00 malam, Betong mencatat bacaan tertinggi iaitu 97, meningkat daripada 95 pada 4.00 petang, manakala Serian turun daripada 97 kepada 96.
Samarahan turut menurun daripada 92 kepada 85, manakala Kanowit daripada 70 kepada 63 dan Tebedu daripada 76 kepada 69.
Sarikei sebaliknya meningkat daripada 71 kepada 75, manakala Lubok Antu naik daripada 88 kepada 89.
Antara bacaan lain, Kuching kekal pada 91, Samalaju 79 dan ILP Miri 68, manakala Sibu turun kepada 76 dan Bintulu kepada 83.
Setakat 9.00 malam, tiada stesen merekodkan IPU melebihi 100, dengan semua bacaan masih dalam kategori sederhana.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 51 hingga 100 adalah sederhana, manakala 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.





