Delegasi Pakistan kunjungi MBKS, pelajari pelaksanaan bandar mesra kanak-kanak

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN HORMAT…Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng (kanan) menerima kunjungan delegasi dari Pakistan bagi berkongsi pengalaman pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) di MBKS.

KUCHING, 8 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menerima kunjungan delegasi 11 anggota dari Pakistan bagi mempelajari pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) yang diperkenalkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Delegasi yang diketuai Pengarah Lembaga Pembangunan Lahore (LDA), Muhammad Ubaid Iqbal itu terdiri daripada enam wakil LDA, dua wakil pihak berkuasa bandar lain di Lahore serta tiga anggota pasukan UNICEF Pakistan.

Kunjungan tersebut turut melibatkan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, yang berkongsi pengalaman MBKS dalam mengintegrasikan keperluan serta pandangan kanak-kanak ke dalam perancangan, program dan proses membuat keputusan pihak berkuasa tempatan.

Lawatan berkenaan bertujuan memberi pendedahan mengenai struktur tadbir urus dan pengaturan institusi yang menyokong pembangunan bandar mesra kanak-kanak serta pelaksanaannya dalam memberi manfaat kepada golongan tersebut dan keluarga

Antara aspek yang menjadi tumpuan ialah penyertaan kanak-kanak, proses perancangan bandar, penyediaan ruang awam, kemudahan komuniti serta pendekatan mewujudkan persekitaran bandar yang inklusif.

CENDERAMATA…Dato Wee Hong Seng menerima cenderamata daripada wakil delegasi Pakistan sempena kunjungan ke MBKS bagi mempelajari pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI).

Menurut Wee, pendekatan CFCI yang dilaksanakan MBKS menggabungkan penglibatan komuniti dengan platform rasmi bagi membolehkan kanak-kanak menyuarakan pandangan menerusi Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan.

“Kanak-kanak melihat dan mengalami persekitaran bandar daripada perspektif berbeza. Mereka mungkin menyedari lintasan jalan yang tidak selamat ketika ke sekolah atau kawasan awam yang menyebabkan mereka berasa kurang selesa.

“Dengan mendengar pandangan mereka, kita dapat memahami perkara yang perlu diberi perhatian dalam perancangan dan pelaksanaan tugas harian,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Pelan Tindakan CFCI MBKS merangkumi empat bidang utama iaitu kelangsungan hidup dan pembangunan, pembelajaran, perlindungan serta penyertaan kanak-kanak.

Katanya, empat bidang berkenaan menjadi panduan kepada MBKS dalam menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan, sekolah, pertubuhan komuniti dan kanak-kanak bagi memastikan pembangunan bandar lebih menyeluruh.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk audit keselamatan sekolah, kempen keselamatan jalan raya, kesedaran kesihatan mental serta program penglibatan pelajar yang diterajui rakan sebaya.

Melalui pelaksanaan program tersebut, kanak-kanak diberi peluang mengenal pasti masalah, berkongsi pengalaman dan mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap persekitaran mereka.

Wee berkata, Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan menyediakan platform berstruktur kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 16 tahun daripada pelbagai latar belakang untuk membincangkan isu komuniti, membangunkan kemahiran kepimpinan serta menyumbang kepada perancangan bandar.

“Majlis Kanak-Kanak perlu memainkan peranan yang bermakna. Penyertaan mereka bukan sekadar menghadiri sesuatu program atau diminta memberikan pendapat.

“Pandangan mereka perlu mempunyai ruang untuk dipertimbangkan ketika kita merangka program dan membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka,” tegasnya.

Dalam lawatan itu, delegasi Pakistan turut mengadakan sesi interaksi bersama ahli Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan bagi memahami bagaimana pandangan golongan tersebut diterapkan dalam penggubalan dasar tempatan dan pembangunan bandar.

Sesi berkenaan turut memberi peluang kepada delegasi mendengar sendiri pengalaman ahli majlis serta isu yang menjadi perhatian kanak-kanak dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, Wee menekankan kepentingan kerjasama antara agensi memandangkan pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai tanggungjawab langsung terhadap semua perkara yang melibatkan kebajikan kanak-kanak.

Sehubungan itu, MBKS berusaha menyelaraskan kerjasama dengan agensi berkaitan dan rakan komuniti melalui penetapan sasaran jelas, maklum balas berkala serta latihan kepada pihak yang terlibat dalam pelaksanaan CFCI.

Beliau turut menjelaskan bahawa perancangan bandar mesra kanak-kanak bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan tersebut, malah turut meningkatkan kesejahteraan warga emas, keluarga dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, penyediaan laluan pejalan kaki yang lebih selamat, kemudahan komuniti mudah diakses serta ruang awam inklusif merupakan antara langkah yang mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhan.

“Kuching Selatan masih dalam proses pembelajaran dan kami sentiasa mengalu-alukan peluang bertukar pengalaman dengan bandar lain.

“Kami berharap lawatan ini dapat membantu kedua-dua pihak mengenal pasti pendekatan praktikal bagi memastikan suara kanak-kanak diberi perhatian dalam usaha membangunkan bandar yang lebih baik untuk kehidupan seharian mereka,” katanya.