KUCHING, 8 Oktober: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) menjadi rakan dalam projek penyelidikan antarabangsa bernilai £3.4 juta (RM18.35 juta) bagi memahami, meramal dan mencegah virus demam babi Afrika (ASF) di Sarawak, Asia Tenggara dan United Kingdom.
Projek yang dibiayai Penyelidikan dan Inovasi United Kingdom (UKRI) itu diketuai Profesor Peter J Dodd dari Universiti Sheffield dan antara 18 projek yang diumumkan UKRI pada 7 Oktober lalu.
Projek berkenaan turut membabitkan Universiti Liverpool dan Pusat Kebangsaan Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi Thailand (BIOTEC), selain kerjasama SIDC dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS).
Demam babi Afrika ialah penyakit virus yang sangat mudah berjangkit dalam kalangan babi ternakan dan babi hutan, namun tidak menjejaskan kesihatan manusia.
Penyakit itu boleh menyebabkan kemusnahan ternakan dalam jumlah besar serta memberi kesan ekonomi dan sosial kepada komuniti penternak.
Menurut SIDC, projek itu akan memberi tumpuan kepada jurang pengetahuan berkaitan kepelbagaian genetik virus ASF, perubahan virus serta faktor yang mendorong penularannya.
Ia turut menyasarkan SIDC menjadi pusat rujukan genetik serantau bagi virus ASF melalui kaedah penjujukan keseluruhan genom, selain membantu strategi pembangunan vaksin dan penyelarasan amalan kawalan penyakit di rantau ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah SIDC, Dr Annuar Rapaee berkata kejayaan memperoleh geran berkenaan membuktikan keupayaan Sarawak menjalankan penyelidikan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata kerjasama itu turut membolehkan SIDC bekerjasama dengan universiti terkemuka antarabangsa dalam menangani cabaran penyakit berjangkit.
Ketua Pegawai Eksekutif SIDC, Profesor Madya Ivan K S Yap berkata demam babi Afrika tidak mengenal sempadan dan penyelesaiannya memerlukan perkongsian data yang baik serta bertanggungjawab antara rakan penyelidikan.
Beliau berkata gabungan penjujukan genom, pengalaman penternak serta kepakaran SIDC dan DVS Sarawak diharap dapat menyediakan bukti bagi membantu melindungi industri penternakan babi serta komuniti yang bergantung kepadanya.
Untuk rekod, projek itu meneruskan kerjasama antara United Kingdom dan SIDC susulan memorandum persefahaman dengan Universiti Sheffield yang dimeterai di Kuching pada November 2024, meliputi penyelidikan bersama, pertukaran kakitangan dan pelajar serta pembangunan keupayaan dalam kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit di Borneo.





