Polis serbu pusat hiburan di Miri, sembilan individu ditahan

Facebook
WhatsApp
TAHAN... Anggota polis ketika mengadakan sebuah di sebuah pusat hiburan di Jalan Kubu di sini pada awal pagi kelmarin kerana disyaki menggaji warga asing tanpa permit kerja yang sah. Foto Polis Daerah Miri

MIRI, 7 Oktober: Sebuah pusat hiburan di Jalan Kubu di sini diserbu polis awal pagi kelmarin kerana disyaki menggaji warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Menurut kenyataan Polis Daerah Miri, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada kira-kira 12.05 pagi, 4 Oktober lalu hasil risikan dan maklumat berkaitan aktiviti di premis berkenaan.

Pemeriksaan mendapati premis tersebut mempunyai Lesen Perniagaan dan Hiburan yang masih sah serta beroperasi dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Bagaimanapun, polis mendapati premis berkenaan menggaji wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO) bagi menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan pendapatan.

Hasil serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bersama lapan perempuan warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan, kata kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, semakan lanjut mendapati kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Lelaki tempatan berkenaan ditahan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, manakala lapan wanita warga asing terbabit ditahan kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial.

“Lelaki berkenaan direman selama dua hari, manakala lapan perempuan warga asing terbabit direman selama 14 hari dan ditempatkan di Lokap Balai Polis Trafik Miri,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pekerja yang didapati bersalah.

Lapan perempuan warga asing terbabit pula disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, pihak polis mengingatkan pengusaha premis hiburan supaya menjalankan perniagaan mengikut syarat lesen yang ditetapkan serta memastikan pengambilan pekerja warga asing mematuhi peruntukan undang-undang.

Polis turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan sedia ada.

Oleh Adum Liu