PUSA, 8 Oktober: Seorang warga emas lelaki berusia 71 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun di Jalan Pusa–Serabang berjaya ditemui dalam keadaan selamat awal pagi kelmarin.
Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.00 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada 10.01 malam.
Difahamkan, mangsa keluar dari rumah untuk ke kebun bagi melihat sempadan tanah miliknya di kawasan Jalan Pusa–Serabang. Kebimbangan mula timbul selepas mangsa tidak pulang seperti biasa, manakala motosikalnya ditemui di tepi jalan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan pencarian di sekitar kawasan berkenaan dalam radius kira-kira satu kilometer dari lokasi motosikal mangsa ditemui.
Operasi turut mendapat kerjasama empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota RELA serta kira-kira 50 penduduk kampung berhampiran.
Hasil usaha pencarian, mangsa berjaya ditemui pada 12.15 tengah malam oleh penduduk kampung di kawasan berhampiran.
Mangsa yang ditemui dalam keadaan selamat kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Pusa untuk mendapatkan pemeriksaan dan tindakan lanjut.
Operasi diketuai PBK I Yusof Tamin selaku komander operasi bersama dua lagi anggota BBP Betong menggunakan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Kejayaan menemui mangsa dengan selamat turut menonjolkan peranan penting kerjasama antara agensi keselamatan dan komuniti setempat dalam operasi mencari dan menyelamat.
Oleh Adi Safarman





