Anak kucing tersepit bawah kenderaan berjaya diselamatkan APM Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Lubok Antu telah menyelamatkan seekor anak kucing yang ditemui tersepit di bahagian bawah sebuah kenderaan. Foto APM Lubok Antu

LUBOK ANTU, 8 Oktober: Keprihatinan seorang orang awam terhadap keselamatan seekor anak kucing membolehkan haiwan berkenaan diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu selepas ditemui tersepit di bahagian bawah sebuah kenderaan, semalam.

Pegawai APM Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata, kejadian itu dilaporkan kepada Bilik Gerakan MER’S APM Daerah Lubok Antu pada 12.28 tengah hari.

Menurutnya, pengadu yang dikenali sebagai Alexsandra mendapatkan bantuan selepas menyedari seekor anak kucing tersepit di bahagian bawah kenderaan dan bimbang haiwan tersebut mengalami kecederaan.

“Susulan menerima panggilan kecemasan, tiga anggota MyASPA-O Charlie terus menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti kedudukan anak kucing berkenaan serta kaedah paling selamat untuk mengeluarkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

ANAK kucing berkenaan berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. Foto APM Lubok Antu

Beliau berkata, anggota Prebet Mohd Firdaus Abdul Rani, Prebet Zuinidi Aji dan Prebet Rudi Merdan terlibat dalam operasi menyelamat tersebut.

“Setibanya di lokasi, anggota mengesahkan seekor anak kucing tersepit di bahagian bawah kenderaan sebelum operasi mengeluarkannya dijalankan dengan penuh berhati-hati,” katanya.

Hasil tindakan pantas anggota APM, anak kucing berkenaan berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Operasi yang bermula selepas menerima panggilan pada 12.28 tengah hari itu selesai kira-kira 12.40 tengah hari, dengan jarak perjalanan sehala direkodkan sebanyak sifar kilometer kerana kejadian berlaku di kawasan PKOD Lubok Antu.

APM turut menasihati pengadu supaya memeriksa keadaan di sekeliling dan bahagian bawah kenderaan sebelum menghidupkan enjin atau memulakan perjalanan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang, khususnya melibatkan haiwan kecil yang mungkin berlindung di bawah kenderaan.

Oleh Adi Safarman