KUCHING, 8 Oktober: Kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada keupayaan melaksanakan tugas dan operasi, sebaliknya turut dibina menerusi hubungan erat sesama warga, kebajikan anggota serta semangat kekeluargaan yang kukuh.
Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, aspek berkenaan penting bagi memastikan setiap warga pasukan sentiasa mempunyai rasa kebersamaan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
Menurut beliau, Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRPD) memainkan peranan signifikan sebagai wadah yang merapatkan hubungan antara kepimpinan dengan warga pasukan.
Katanya, kedua-dua persatuan itu bukan sahaja menjadi platform untuk menyuarakan pandangan dan memperjuangkan kepentingan anggota, malah turut berperanan memperkukuh jalinan silaturahim dalam kalangan warga Briged Sarawak PGA.
“Kita mungkin datang daripada latar tugas dan pangkat yang berbeza, tetapi kita berkongsi satu amanah dan satu perjuangan. Jangan biarkan perbezaan pangkat menjadi jarak yang memisahkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung Tahunan 2026 PPKP dan PPRPD Briged Sarawak PGA, hari ini.
Lim berkata, aspek kebajikan anggota perlu terus diberi perhatian kerana kekuatan moral sesebuah pasukan turut terbina apabila setiap warganya berasa dihargai, disantuni dan tidak pernah berjuang sendirian.
Menurutnya, Mesyuarat Agung Tahunan 2026 bukan sekadar memenuhi tuntutan agenda persatuan, tetapi turut menjadi ruang untuk melakukan muhasabah, menilai pencapaian serta merangka hala tuju yang lebih progresif demi kepentingan warga pasukan.
“Di situlah terletaknya kekuatan PPKP dan PPRPD, iaitu kesanggupan untuk mendengar, keberanian untuk memperjuangkan dan keikhlasan untuk menyantuni,” katanya.
Beliau menegaskan, hubungan erat dan semangat kekeluargaan dalam organisasi perlu terus diperkasa kerana setiap anggota mempunyai peranan penting dalam memastikan amanah pasukan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi.
“Pada akhirnya, kita bukan sekadar berada di bawah satu organisasi. Kita adalah sebuah keluarga besar yang berkongsi amanah, perjuangan dan maruah pasukan,” katanya.
Oleh Adi Safarman





