Perubahan taktikal, semangat juang pemain kunci kebangkitan Kuching City FC

Facebook
WhatsApp
AIDIL Shahrin Sahak dan Gabriel Peres bergambar selepas sidang media pasca perlawanan menentang Tampjnes Rovers Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup 2026/27, di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.

PETRA JAYA, 8 Oktober: Perubahan taktikal serta semangat juang tinggi pemain menjadi antara faktor utama kebangkitan Kuching City FC untuk mengikat Tampines Rovers 2-2 dalam aksi pembukaan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup 2026/27 di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, beberapa perubahan dilakukan selepas pasukannya ketinggalan 0-1 bagi mencari ruang untuk mengeksploitasi kelemahan Tampines Rovers, khususnya di bahagian sayap.

Menurutnya, kemasukan Declan Lambert dan Joao Pedro memberikan lebih kepantasan serta pergerakan dalam serangan menerusi gerakan bertindih (overlap) di bahagian sayap, sekali gus membantu Kuching City memberikan lebih tekanan kepada pertahanan lawan.

“Kami terpaksa melakukan beberapa perubahan kerana ketinggalan 1-0. Kami dapat melihat beberapa kawasan yang perlu diterokai untuk mencari kelemahan mereka.

“Kami membawa sedikit kepantasan dan dinamik menerusi pemain seperti Declan dan Pedro yang melakukan lebih banyak gerakan overlap untuk memberi masalah kepada mereka di bahagian sayap.

“Apabila mereka masuk, mereka melakukan tugas dengan baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kuching City yang ketinggalan sejak minit ke-13 menerusi jaringan Naberu Yoshitaka Furusawa akhirnya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-86 menerusi Gabriel Peres.

Bagaimanapun, Tampines kembali di depan hanya dua minit kemudian selepas Kohya Kazama memanfaatkan kesilapan di benteng tuan rumah.

Enggan menyerah kalah, Kuching City terus mengasak sehingga Peres muncul wira pada masa tambahan dengan menanduk masuk hantaran lintang Joao Pedro pada minit ke-90+3 untuk mengikat kedudukan 2-2.

Aidil menyifatkan sikap tidak pernah mengalah pemainnya sebagai satu lagi aspek positif daripada perlawanan tersebut, selain mengakui Kuching City mempamerkan permainan yang baik secara keseluruhan.

“Secara keseluruhan, saya fikir kami adalah pasukan yang lebih baik. Kami mempunyai beberapa peluang dan kami juga perlu memberikan kredit kepada penjaga gol serta pertahanan Tampines yang melakukan tugas dengan baik untuk menghalang kami.

“Saya menghargai pemain kerana mereka tidak berhenti berusaha. Mereka bekerja sangat keras dan sikap untuk menang itu sentiasa ada,” katanya.

Dalam pada itu, Aidil mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, terutama dari segi tumpuan dan kesilapan mudah yang boleh dihukum pasukan berkualiti seperti Tampines.

Katanya, pengalaman berdepan pasukan Singapura itu memberikan pengajaran penting kepada Kuching City untuk memperkemas permainan menjelang aksi seterusnya dalam Shopee Cup.

“Apabila bermain dalam Shopee Cup, ia adalah perlawanan berintensiti tinggi. Anda tidak boleh melakukan satu kesilapan mudah kerana mereka akan menghukumnya kerana ini pasukan yang mempunyai pemain berkualiti.

“Perlawanan hari ini mengajar kami sesuatu dan kami pasti akan belajar daripadanya,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Puisi

Ditawan Sepi Ditawan sepi, Penjaranya adalah duka, Jeriji-jeriji resah tersusun di dada, Tidak sempat aku menjerit ketika meronta, Jiwa dipukul