BAU, 7 Oktober: Polis sedang menyiasat dakwaan eksploitasi buruh membabitkan seorang lelaki warga Filipina serta satu kes kehilangan empat set rim dan tayar kereta di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Bau Supt Mohd Haide A Rahman berkata dalam kes eksploitasi buruh, lelaki berusia 33 tahun itu mendakwa dibawa ke Bau selepas melakukan perjalanan dari Kemboja ke Kuala Lumpur pada 23 Mei dan seterusnya ke Kuching pada 14 Jun.
Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian dibawa bekerja di sebuah pusat panggilan yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan, bertempat di sebuah rumah kampung dua tingkat di Bau.
“Dia mula bekerja di pusat panggilan itu pada 1 Julai dan mendakwa bekerja dari 6.00 petang hingga 6.00 pagi setiap hari kecuali Ahad selama kira-kira dua bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Haide berkata lelaki itu mendakwa tidak menerima gaji sepanjang tempoh bekerja, kecuali wang pendahuluan RM300 yang dihantar kepada keluarganya di Filipina melalui perkhidmatan kiriman wang.
“Dia pada awalnya dijanjikan gaji AS$1,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata pengadu turut mendakwa tidak dibenarkan keluar dari rumah, membuat bising, melakukan panggilan video atau mengambil gambar ketika bekerja.
Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan ditahan bersama 13 individu lain pada 30 Ogos dan direman selama lima hari sebelum dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Bau pada 5 September.

Selepas dibebaskan, lelaki berkenaan kemudiannya dibawa bersama beberapa individu lain ke sebuah rumah di Hui Sing, Kuching.
Menurut Mohd Haide, lelaki itu mendakwa dia tidak diarahkan bekerja ketika berada di rumah berkenaan dan bebas keluar masuk.
“Dia menyatakan belum bekerja di Kuching dan hanya tinggal di rumah tersebut. Dia mempunyai telefon bimbit yang boleh digunakan secara bebas, selain boleh keluar masuk rumah dan mempunyai akses kepada kunci rumah atau pagar,” katanya.
Lelaki berkenaan kini ditempatkan di rumah perlindungan selamat yang disediakan Kedutaan Filipina di Kuching.
Mohd Haide berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), dengan siasatan menjurus kepada dakwaan eksploitasi buruh melalui kegagalan membayar gaji.
Beliau berkata polis akan merakam percakapan lanjut, mendapatkan perintah perlindungan interim bagi lelaki berkenaan di Mahkamah Majistret Kuching, mengatur pemeriksaan kesihatan serta berhubung dengan Kedutaan Filipina, Interpol dan rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang di Melaka.
Dalam perkembangan berasingan, polis turut menyiasat kehilangan empat set rim dan tayar berwarna gangsa milik sebuah kereta Proton Saga VVT di garaj sebuah rumah di Kampung Sebobok.
Mohd Haide berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 12.45 tengah malam selepas pemilik kenderaan mendapati rim dan tayar berkenaan hilang.
“Pengadu kali terakhir melihat rim dan tayar berkenaan kira-kira 11.30 pagi pada 5 Oktober sebelum menyedari kehilangannya kira-kira 7.30 pagi keesokan harinya,” katanya.

Beliau berkata kerugian akibat kejadian itu dianggarkan RM900, manakala rim dan tayar berkenaan disimpan di garaj sejak Julai kerana ruang penyimpanan di dalam rumah tidak mencukupi.
Menurutnya, rumah berkenaan tidak berpagar dan garaj boleh diakses dari kawasan luar.
“Pemeriksaan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumah pengadu atau kediaman jiran, manakala tiada saksi tampil melihat kejadian.
“Pengadu juga tidak mengesyaki mana-mana individu tertentu,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.
Mohd Haide berkata polis telah merakam percakapan pengadu dan sedang mengesan suspek serta saksi berpotensi.
“Kedua-dua kes masih dalam siasatan,” katanya.
Oleh Connie Chieng




