SERIAN, 7 Oktober: Seorang wanita kerugian RM1,950 selepas membeli sebentuk cincin yang ditawarkan seorang lelaki sebagai emas tulen 916 dalam satu urusan jual beli secara langsung, kata Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian.
Beliau berkata polis menerima laporan pada 6 Oktober selepas kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5.00 petang, 4 Oktober lalu, di kawasan tempat letak kereta sebuah bank
berhampiran pasar Serian.
Siasatan awal mendapati mangsa, yang merupakan penduduk Serian, telah dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai “Bobo” dan menawarkan sebentuk cincin berwarna kuning seberat kira-kira 5.4 gram pada harga RM1,950.
“Suspek mendakwa cincin tersebut adalah emas 916 miliknya dan menyatakan dia menjualnya kerana memerlukan wang. Mangsa kemudian membuat bayaran tunai RM1,950, namun tiada resit atau dokumen rasmi diberikan bagi urusan tersebut,” katanya.
Mangsa bersama rakannya kemudian menjalankan ujian ketulenan menggunakan asid pada 5 Oktober dan mendapati cincin berkenaan bukan emas tulen serta disyaki palsu.
Freddy berkata siasatan mendapati mangsa menjalankan aktiviti jual beli emas secara sambilan dan mengiklankan perkhidmatannya melalui media sosial, yang dipercayai diambil kesempatan oleh suspek sebelum penipuan dilakukan secara langsung.
“Semakan awal melalui CCIS setakat ini tidak menemui sebarang maklumat berkaitan nombor telefon atau akaun bank suspek,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis kini sedang berusaha mengenal pasti dan mengesan suspek serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Freddy turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat pembelian emas secara persendirian, terutama jika ditawarkan pada harga mencurigakan atau tanpa resit dan dokumen yang sah.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran emas pada harga menarik. Pastikan ketulenan emas dan kesahihan urusan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang bayaran,” katanya.
Mangsa penipuan dinasihatkan supaya segera menghubungi NSRC di talian 997 atau membuat laporan polis.
Oleh Connie Chieng




