KUCHING, 7 Oktober: Sepasang warga emas di sini sekali lagi berdepan gangguan apabila rumah mereka didakwa diconteng dengan cat pada kira-kira 3.30 pagi tadi, beberapa hari selepas kejadian serangan mercun terhadap kediaman mereka.
Susulan kejadian itu, Ketua Biro Aduan Awam SUPP, Milton Foo, mengecam tindakan gangguan berulang terhadap pasangan berkenaan dan menggesa polis menjalankan siasatan segera.
Foo berkata Biro Aduan Awam SUPP menerima aduan kedua daripada pasangan tersebut berhubung kejadian terbaharu, selepas pihaknya mendedahkan serangan mercun terhadap rumah mereka pada sidang media 3 Oktober lalu.
“Walaupun perkara ini telah dibawa kepada perhatian umum, gangguan terhadap pasangan ini kini semakin serius,” katanya.
Beliau berkata kejadian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan hutang anak pasangan itu yang kini tidak lagi menetap di rumah tersebut, menyebabkan ibu bapanya terpaksa menanggung akibat daripada masalah berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu tidak wajar kerana pasangan warga emas terbabit terpaksa berdepan tekanan psikologi dan kebimbangan serius terhadap keselamatan mereka akibat hutang yang bukan ditanggung oleh mereka.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, Foo menegaskan bahawa sebarang bentuk ugutan, gangguan atau perbuatan khianat tidak boleh diterima.
“Segala hutang perlu dibayar, tetapi kutipan hutang mestilah melalui saluran undang-undang. Ia sama sekali tidak boleh melibatkan perbuatan membakar, merosakkan harta benda, mengugut atau mengganggu mangsa, yang boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.
Foo menggesa polis mengambil perkara itu dengan serius, menjalankan siasatan segera serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meminjam daripada pemberi pinjaman wang haram kerana tindakan sedemikian boleh membawa kesan serius bukan sahaja kepada peminjam, malah turut membahayakan keselamatan dan kesejahteraan keluarga mereka.
Oleh Connie Chieng




