SPAOH, 7 Oktober: Sebanyak 21 projek strategik bernilai RM853.33 juta telah dan sedang dilaksanakan kerajaan Sarawak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban sejak 2022 hingga Oktober tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan projek berkenaan merangkumi pelbagai sektor termasuk infrastruktur, pertanian, kesihatan, pengangkutan dan kemudahan awam yang dijangka memberi kesan kepada pembangunan sosioekonomi Spaoh serta kawasan sekitarnya.
Menurutnya, antara projek utama yang telah siap ialah Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, yang baru-baru ini melalui sesi percubaan pendaratan pesawat sebagai sebahagian daripada proses kesiapsiagaan sebelum beroperasi sepenuhnya.
“Projek-projek ini merupakan antara usaha kerajaan Sarawak untuk terus memperkukuh pembangunan infrastruktur dan meningkatkan kemudahan yang diperlukan rakyat di Bukit Saban, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada perkembangan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Program Pemantapan Jentera dan Persiapan Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) DUN Bukit Saban di Dewan Serbaguna Spaoh, di sini, hari ini.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok bernilai RM16 juta, selain Agropark Bebuling dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling.
Katanya, pembangunan Agropark dan CPPC berkenaan dijangka menyokong pertumbuhan sektor pertanian serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat dengan menyediakan kemudahan yang lebih tersusun kepada pemain industri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata perancangan turut dibuat untuk mewujudkan pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam bagi menyokong pertambahan penternak ayam kacukan di Bukit Saban serta memudahkan pemasaran hasil ternakan.

“Pusat ini disasarkan mampu menyembelih sekurang-kurangnya 500 ekor ayam sehari bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Dalam sektor kesihatan pula, Pusat Hemodialisis Spaoh telah diluluskan dengan kos RM5.4 juta, manakala Klinik Kesihatan Spaoh akan dibina dengan kos keseluruhan RM40.9 juta.
Turut diberi perhatian ialah pembangunan rangkaian jalan raya apabila kerja menaik taraf Jalan Ulu Rimbas bernilai RM25 juta serta Jalan Mara–Selangking–Nanga Sela–Tanjung Paoh bernilai RM15.8 juta sedang dilaksanakan.
Sementara itu, Kompleks Sukan Spaoh dan Jambatan Sungai Paku, Spaoh merupakan antara projek yang telah siap dilaksanakan.
Uggah berkata, rangkaian pembangunan tersebut penting bagi memastikan Bukit Saban terus mendapat manfaat daripada pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang menjadi landasan Sarawak ke arah mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Dalam menghadapi PRN13, beliau turut menekankan kepentingan kesiapsiagaan serta penyelarasan jentera parti di semua peringkat.
“Saya mahu semua persiapan jentera parti diperkukuh dari sekarang, termasuk penyelarasan petugas, pembahagian tugas dan kesiapsiagaan di setiap peringkat supaya kita sentiasa bersedia menghadapi PRN13,” katanya.
Kira-kira 500 ahli jawatankuasa daripada 17 ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban menghadiri program berkenaan yang turut melibatkan kepimpinan Bapa, Wanita, Pemuda serta Belia.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai; Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Susan Chemerai Anding; serta Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.
Oleh Adi Safarman




