KUCHING, 7 Oktober: Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia perlu memperkukuh kerjasama rentas sempadan bagi membentuk “Segi Tiga Emas” baharu Borneo berasaskan potensi ekonomi, kesalinghubungan dan pembangunan bersama di rantau ini.
Menteri Perencanaan Pembangunan Nasional Republik Indonesia, H.E. Rachmat Pambudy, berkata kerjasama antara ketiga-tiga negara itu perlu diperkukuh dengan memanfaatkan kedudukan strategik Borneo serta potensi ekonomi yang semakin berkembang di Kalimantan.
Beliau yang juga Ketua Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas) berkata, peralihan tumpuan ekonomi Indonesia ke Kalimantan, termasuk menerusi pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN), membuka ruang lebih luas untuk kerjasama rentas sempadan dengan Malaysia dan Brunei Darussalam.
“Kerjasama antara Malaysia, Brunei dan Indonesia ini bukan sekadar segi tiga baharu, malah merupakan ‘Segi Tiga Emas’ bagi masa depan rantau ini,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Borneo Ke-2 di sini.
Rachmat berkata Kalimantan kini dilihat sebagai pemacu transformasi ekonomi dan pembangunan yang lebih seimbang, dengan IKN menjadi tonggak kepada pembentukan Nusantara Economic Superhub atau Hab Ekonomi Utama Nusantara.
Katanya, perkembangan itu turut menyediakan asas bagi pengukuhan kerjasama antara Kalimantan, Sarawak dan Brunei Darussalam, khususnya dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi rentas sempadan.
Menurutnya, pembangunan Hab Ekonomi Utama Nusantara akan disokong oleh enam kluster strategik, iaitu teknologi hijau; farmaseutikal dan kimia bersepadu; pertanian mampan; ekopelancongan dan pelancongan kesihatan; tenaga rendah karbon; serta bandar pintar dan hab Industri 4.0.
Katanya, usaha merealisasikan visi itu memerlukan pelaburan dalam modal insan dan infrastruktur, termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan, pembangunan kemahiran, pemprosesan hiliran industri dan pelancongan.
Pada masa sama, pembangunan perlu mengambil kira tadbir urus yang baik, ketahanan sosiobudaya dan ekologi, pemeliharaan hutan serta penghormatan terhadap hak masyarakat pribumi.

Rachmat berkata kesalinghubungan menjadi antara keutamaan bagi menghubungkan pusat pertumbuhan ekonomi di seluruh Borneo, termasuk kawasan di Kalimantan dengan Sarawak dan wilayah lain di Borneo.
Antaranya, koridor Nusantara-Balikpapan-Samarinda akan menjadi antara hab ekonomi utama yang disokong oleh kemudahan pelabuhan, pelabuhan darat, lapangan terbang dan sistem transit awam.
“Penyelesaian Jalan Trans-Kalimantan, pembangunan rangkaian rel dan udara, serta penambahbaikan akses sempadan dan pengangkutan awam bandar adalah penting untuk menyokong transformasi ini,” katanya.
Beliau berkata koridor Samarinda-Bontang-Tarakan pula berpotensi memacu industri hiliran dan pembangunan tenaga, manakala rangkaian logistik di bahagian barat dan selatan Kalimantan dapat memperkukuh rantaian bekalan serta ekonomi pesisir.
Dalam konteks serantau, katanya, kerjasama menerusi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) perlu diperkukuh bagi meningkatkan perdagangan, pelaburan dan rantaian nilai rentas Borneo.
Fokus kerjasama itu termasuk kesalinghubungan pengangkutan dan sempadan, Grid Kuasa ASEAN, pelaburan industri, rantaian nilai berasaskan rantau, infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI), selain kemudahan logistik serta pendigitalan dokumentasi dan prosedur kastam.
Rachmat berkata semakan semula Memorandum Persefahaman (MoU) Kesalinghubungan Udara BIMP-EAGA selaras dengan Visi 2035 turut penting bagi meningkatkan hubungan antara kawasan di Borneo.
“Dengan memperkukuh mekanisme BIMP-EAGA, kita dapat mencipta lebih banyak peluang perniagaan, meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan membina kawasan Borneo yang lebih terhubung serta berdaya tahan,” katanya.
Forum Ekonomi Borneo Ke-2 bertemakan “Membentuk Masa Depan Borneo” menghimpunkan pemimpin kerajaan, pemain industri dan komuniti perniagaan dari Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia bagi membincangkan peluang pembangunan serta kerjasama ekonomi di Borneo.
Oleh Afiq Sallehi




