KUCHING, 7 Oktober: Kekangan modal pusingan dan kelewatan menerima bayaran daripada pelanggan terus menjadi antara cabaran utama yang dihadapi kontraktor Bumiputera di Sarawak.
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Dato’ Ismail Suut berkata, keadaan itu boleh menjejaskan keupayaan kontraktor untuk meneruskan operasi dan melaksanakan projek yang diperoleh, sama ada daripada kerajaan mahupun sektor swasta.
Katanya, keperluan mendapatkan modal pusingan yang mencukupi menjadi semakin penting bagi memastikan kontraktor dapat menanggung kos operasi sementara menunggu pembayaran daripada pelanggan.
“Selalunya kontraktor Bumiputera usunya adalah modal pusingan dan mereka menunggu pembayaran daripada pelanggan yang agak lama atau lewat.
“Jadi, dengan program yang kita anjurkan ini, ia dapat memudahkan kepada pihak kontraktor dan pengusaha,” katanya ketika ditemui media ketika Program Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Sarawak 2026 di sebuah hotel di Kuching, hari ini.
Program berkenaan dianjurkan bersama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
Menurut Ismail, program sulung berkenaan menghimpunkan kira-kira 150 syarikat kontraktor Bumiputera dari seluruh Sarawak, sekali gus menyediakan ruang kepada pemain industri untuk mendapatkan maklumat serta peluang yang boleh membantu mengukuhkan operasi perniagaan mereka.
Beliau berkata, antara pengisian utama program termasuk berkaitan modal pusingan dan padanan perniagaan, selain penglibatan beberapa institusi kewangan.
“Pengisian program adalah berkenaan modal pusingan, padanan perniagaan dan beberapa program lain yang disertai beberapa institusi kewangan seperti Affin Bank dan Agrobank,” katanya.
Katanya, penglibatan institusi kewangan dalam program berkenaan memberi peluang kepada kontraktor untuk mendapatkan maklumat berkaitan kemudahan kewangan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka.
“Manfaatnya adalah dapat membantu kontraktor mendapatkan modal pusingan supaya mereka lebih mudah apabila mendapat projek atau melaksanakan perusahaan yang diperoleh daripada kerajaan atau syarikat swasta,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, program berkenaan diharap dapat diteruskan secara berkala bagi memberi manfaat lebih meluas kepada kontraktor Bumiputera di Sarawak.
Beliau berkata, penganjuran sulung di Kuching itu juga berpotensi diperluaskan ke bahagian lain pada masa akan datang.
“Ini merupakan penganjuran sulung dan kita mungkin akan adakan program seumpama ini di bahagian lain seperti Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas,” katanya.
Ismail berharap peluasan program berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor Bumiputera di seluruh Sarawak untuk mendapatkan akses kepada pemain industri dan institusi kewangan, selain membantu mereka memperkukuh kapasiti perniagaan.
TERAJU atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera merupakan agensi yang berperanan memacu dan memperkukuh agenda ekonomi serta sosioekonomi Bumiputera melalui pelbagai inisiatif pembiayaan, pemudahcaraan dan pembangunan keupayaan.
Oleh Shahrul Qaizat





