Brunei perluas kerjasama tenaga, pelancongan dengan Sarawak

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Brunei Darussalam, Datin Seri Paduka Tutiaty Abdul Wahab ketika berucap mengenai kerjasama tenaga dan pelancongan antara Brunei dan Sarawak di Hotel Sheraton, Kuching.

KUCHING, 7 Oktober: Brunei Darussalam dan Sarawak berpotensi memperluas kerjasama dalam sektor tenaga dan pelancongan, termasuk meneroka tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga bateri serta meningkatkan promosi bersama sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan ekonomi Borneo.

Timbalan Menteri di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Brunei Darussalam, Datin Seri Paduka Tutiaty Abdul Wahab, berkata Brunei mengalu-alukan kerjasama dengan rakan-rakan di Borneo dalam usaha memperkukuh keselamatan tenaga, termasuk menerusi teknologi rendah karbon.

Katanya, antara bidang yang boleh diterokai ialah tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga bateri dan teknologi rendah karbon, selain merealisasikan hubungan tenaga antara Brunei dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Grid Kuasa ASEAN.

“Kerjasama sedemikian penting dalam menyokong pembangunan ekonomi yang mampan dan memperkukuh daya tahan serantau,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Borneo Ke-2 bertemakan ‘Membentuk Masa Depan Borneo’ di Kuching, hari ini.

Dalam sektor pelancongan, Tutiaty berkata Brunei dan Sarawak boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing serta meningkatkan usaha promosi bersama bagi meletakkan Borneo sebagai destinasi pelancongan pelbagai destinasi.

Menurutnya, pendekatan itu boleh menarik lebih ramai pelawat, menggalakkan tempoh penginapan lebih panjang dan mewujudkan limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perusahaan makanan dan minuman serta penyedia perkhidmatan pelancongan.

“Dengan memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi dan meningkatkan usaha promosi bersama, kita boleh meletakkan Borneo sebagai rantau pelancongan pelbagai destinasi yang menarik,” katanya.

Beliau berkata kerjasama antara sektor pelancongan Sarawak dan Brunei sedang dijalankan bagi meningkatkan kesalinghubungan serta mempromosikan kedua-dua destinasi sebagai pintu masuk ke Borneo.

Dalam pada itu, Tutiaty berkata kesalinghubungan perlu terus menjadi asas kepada usaha mengintegrasikan ekonomi Borneo, termasuk melalui hubungan tenaga dengan Sarawak, hubungan udara dengan Kalimantan serta pengukuhan kesalinghubungan digital.

SESI bergambar Abang Johari bersama Pengerusi Bersama Komuniti Ekonomi Borneo (BEC), M. Arsjad Rasjid P.M. dari Indonesia, wakil Otorita Ibu Kota Nusantara, Basuki Hadimuljono, serta Timbalan Menteri di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Brunei Darussalam, Datin Seri Paduka Tutiaty Abdul Wahab, serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, sempena Forum Ekonomi Borneo Ke-2.

Katanya, pergerakan rakyat, barangan, perkhidmatan dan pelaburan juga perlu dipermudah bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti perdagangan dan pelaburan merentas sempadan.

Beliau berkata Brunei turut melihat potensi besar untuk memperluas hubungan dengan Kalimantan susulan pembangunan Nusantara dan transformasi ekonomi yang sedang berlaku di wilayah berkenaan.

“Perkembangan Nusantara dan transformasi ekonomi yang lebih luas di Kalimantan menawarkan peluang baharu dalam pelaburan, perdagangan, logistik, pelancongan dan pertukaran rakyat,” katanya.

Tutiaty berkata peningkatan hubungan udara antara Brunei dan destinasi utama di Kalimantan juga penting bagi menyokong perjalanan perniagaan, misi pelaburan, aliran pelancong dan kerjasama komersial.

Menurutnya, pembangunan ekonomi Borneo perlu turut disokong dengan kemudahan perdagangan yang lebih baik, termasuk proses kastam dan sempadan, rangkaian logistik serta penggunaan penyelesaian digital.

Beliau berkata Borneo mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan makanan, pelancongan, logistik, perkhidmatan digital, tenaga boleh baharu, industri hiliran dan ekonomi biru.

Katanya, sektor berkenaan boleh menyokong kepelbagaian ekonomi sambil memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

Tutiaty berkata Brunei Darussalam bersedia menyumbang sebagai rakan strategik dan destinasi pelaburan dengan menghubungkan perniagaan kepada peluang di seluruh Borneo, ASEAN dan pasaran lebih luas.

Sementara itu, beliau turut mengundang orang ramai berkunjung ke Brunei sempena Tahun Melawat Brunei 2027, yang turut berlangsung pada tahun sambutan Jubli Intan pemerintahan Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam.

Oleh Afiq Sallehi