MCMC, platform e-dagang perkukuh perlindungan pengguna

Facebook
WhatsApp
LIBAT URUS... MCMC mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform e-dagang serta kementerian dan agensi berkaitan bagi menyelaras langkah memperkukuh perlindungan pengguna dan keselamatan ekosistem e-dagang negara.

CYBERJAYA, 7 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform e-dagang serta kementerian dan agensi berkaitan bagi menyelaras tindakan memperkukuh perlindungan pengguna dan keselamatan ekosistem e-dagang negara.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, sesi berkenaan merupakan tindakan susulan terhadap kebimbangan awam mengenai keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang dalam ekosistem e-dagang.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil mengenai keperluan memperkukuh kawal selia menerusi kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasaan dan penyedia platform.

Selain aspek keselamatan dan perlindungan pengguna, sesi berkenaan turut memberi perhatian kepada keperluan mewujudkan persekitaran perniagaan yang seimbang antara perniagaan dalam talian dengan premis fizikal.

Perbincangan turut mengambil kira maklum balas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor peruncitan berhubung kesan perkembangan e-dagang terhadap perniagaan, termasuk implikasinya kepada industri kurier.

MCMC berkata, perbincangan juga memberi tumpuan kepada tanggungjawab platform untuk memperkukuh pengesahan identiti penjual serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan produk yang ditawarkan mematuhi keperluan undang-undang dan ketetapan agensi berkuasa berkaitan.

Pada masa sama, platform perlu meningkatkan pemantauan dan penggunaan teknologi bagi mengesan serta mengambil tindakan pantas terhadap penyenaraian barangan terlarang, berbahaya atau tidak mematuhi undang-undang

Menurut MCMC, usaha berkenaan bertujuan memenuhi keperluan terhadap mekanisme kerjasama yang lebih tersusun antara platform dan agensi kerajaan, selain membolehkan siasatan serta tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing dan tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

MCMC akan meneruskan penyelarasan bersama kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri bagi memastikan langkah susulan yang praktikal dapat dilaksanakan untuk memperkukuh perlindungan pengguna, pematuhan undang-undang dan akauntabiliti platform ke arah ekosistem e-dagang yang lebih selamat serta dipercayai.

Sesi itu melibatkan wakil penyedia platform e-dagang termasuk Grab, Lazada Malaysia/Alibaba, Facebook Marketplace, Pinduoduo, SHEIN, Shopee Malaysia dan TikTok Shop.

Turut terlibat Kementerian Komunikasi (KK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Tenaga (ST), SIRIM Berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).