BINTANGOR, 7 Oktober: Usaha memulihkan bekalan air di kawasan terjejas sekitar Sungai Mador terus diberi perhatian bagi memastikan penduduk kembali menerima bekalan air seperti biasa dalam tempoh terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata proses pemulihan perlu dipantau bagi memastikan usaha membaik pulih sistem bekalan air di kawasan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Lawatan ini bertujuan mendapatkan gambaran secara langsung mengenai keadaan semasa serta memastikan usaha pemulihan bekalan air dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin demi kepentingan penduduk setempat.
“Perhatian terhadap pemulihan bekalan air penting memandangkan kemudahan asas berkenaan merupakan keperluan harian masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan tinjauan ke pam penggalak (booster pump) Sungai Mador bagi melihat sendiri perkembangan serta keadaan semasa sistem bekalan air di kawasan berkenaan, semalam.

Katanya, usaha berterusan akan diberi perhatian bagi memastikan bekalan air kepada penduduk di kawasan terjejas dapat kembali normal secepat mungkin.
“Diharapkan proses pemulihan bekalan air akan berjalan lancar dan bekalan air di kawasan yang terjejas dapat beransur pulih dalam masa terdekat.
“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada penduduk atas kesabaran, pemahaman dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air ini,” katanya.
Beliau berkata perkembangan berkaitan bekalan air akan terus dipantau bagi memastikan usaha pemulihan berjalan lancar dan keperluan penduduk tidak terjejas dalam tempoh berpanjangan.
Oleh Earl Anek





