KUCHING, 7 Oktober: Sarawak mahu pembangunan industri bernilai tinggi bergerak seiring peralihan kepada aktiviti ekonomi rendah karbon bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak mengorbankan kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar perlu bergerak bersama, dengan pertumbuhan bukan sahaja mewujudkan peluang kepada rakyat tetapi turut melindungi sumber semula jadi untuk generasi akan datang.
“Kita mengiktiraf bahawa pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar mesti bergerak bersama. Pertumbuhan kita mesti mewujudkan peluang kepada rakyat sambil melindungi modal semula jadi untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Borneo Ke-2 bertemakan ‘Membentuk Masa Depan Borneo’ di Kuching, hari ini.
Menurut Abang Johari, Borneo mempunyai sumber asli yang banyak, namun pembangunan industri perlu bergerak melangkaui eksport bahan mentah dengan meningkatkan keupayaan tempatan, menggunakan teknologi baharu dan mengambil bahagian secara lebih aktif dalam rantaian nilai serantau serta global.
Katanya, Sarawak melaksanakan pendekatan itu menerusi pembangunan kluster industri dan koridor ekonomi, termasuk inisiatif Kluster Industri Peralihan (TIC).
Beliau berkata TIC menghimpunkan kerajaan, industri, pelabur dan rakan teknologi bagi menghubungkan tenaga, infrastruktur, teknologi serta industri, di samping menyokong peralihan kepada aktiviti ekonomi yang lebih rendah karbon dan bernilai tinggi di sepanjang koridor Bintulu-Samalaju.
TIC Sarawak dilancarkan pada Jun 2026 selepas Bintulu dikenal pasti pada 2025 sebagai calon pertama Malaysia bagi inisiatif Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Pendekatan berkenaan turut selari dengan usaha Sarawak memperluas penggunaan tenaga boleh baharu sebagai asas kepada pembangunan industri baharu, termasuk sektor yang memerlukan bekalan tenaga bersih dan stabil.
Sarawak juga telah memperkukuh kedudukannya dalam agenda peralihan tenaga menerusi pembangunan tenaga hidro, solar dan sumber tenaga boleh baharu lain, di samping usaha memperluas kesalinghubungan tenaga dengan wilayah jiran.
“Di seluruh Borneo, kita perlu melihat bagaimana keupayaan industri yang berbeza boleh bekerjasama dengan menghubungkan pengeluaran, logistik, sumber, teknologi dan pasaran untuk membina rantaian nilai serantau yang lebih kukuh,” katanya.
Abang Johari berkata pendekatan itu membolehkan pembangunan industri dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan peralihan kepada aktiviti rendah karbon, di samping meningkatkan nilai ekonomi daripada sumber yang dimiliki Borneo.
Katanya, ekonomi Borneo yang bersepadu tidak bermaksud mewujudkan satu pusat perindustrian untuk seluruh pulau, sebaliknya membangunkan pusat kecemerlangan berbeza yang boleh saling melengkapi dalam pengeluaran, teknologi, logistik dan pasaran.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan ekonomi rendah karbon turut memerlukan penglibatan sektor swasta kerana kerajaan tidak boleh membangunkan masa depan Borneo secara bersendirian.
Menurutnya, kerajaan menyediakan infrastruktur seperti jalan raya, pelabuhan, grid kuasa dan rangkaian digital, selain mewujudkan kepastian dasar serta persaingan yang adil.
“Sektor swasta ialah enjin pertumbuhan. Sektor swasta yang mewujudkan pekerjaan, membawa modal dan teknologi, membangunkan kilang, ladang dan pusat data serta mengambil risiko yang tidak boleh ditanggung kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari menggesa sektor swasta melihat peluang di seluruh Borneo untuk melengkapkan keupayaan antara wilayah, memperkukuh rantaian bekalan dan mewujudkan peluang pelaburan baharu.
Beliau berkata Sarawak akan terus memperkukuh sumber tenaga boleh baharu dan kesalinghubungan, mempercepat digitalisasi serta inovasi, membangunkan industri bernilai lebih tinggi dan melabur dalam pembangunan rakyat.
Pada masa yang sama, katanya, Sarawak akan meneroka peluang kerjasama dalam Borneo dan dengan rakan ASEAN berdasarkan kekuatan yang saling melengkapi, dengan pembangunan ekonomi perlu terus mengambil kira kelestarian alam sekitar.
“Kita perlu menukar kedekatan kepada kesalinghubungan, sumber kepada nilai dan perkongsian kepada peluang untuk rakyat,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi




