KANOWIT, 7 Oktober: Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian N.49 Ngemah sebulat suara menyokong penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana dikekalkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi PRS pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13).
Keputusan itu merupakan antara lima resolusi yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PRS Bahagian Ngemah 2026 yang berlangsung di Kanowit, semalam.
Menurut kenyataan media PRS Bahagian Ngemah, resolusi berkenaan mendapat sokongan sebulat suara daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Induk, Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda bahagian tersebut.
“Mesyuarat sebulat suara menyokong untuk mengekalkan Anyi Jana sebagai calon GPS-PRS bagi kawasan DUN N.49 Ngemah pada PRN-13,” kata kenyataan itu.
Selain itu, mesyuarat turut mengambil pendirian tegas menolak sebarang pencalonan mewakili GPS-PRS daripada individu yang bukan ahli PRS Bahagian Ngemah serta bukan pengundi berdaftar di kawasan DUN berkenaan.
Kenyataan itu memberitahu, pendirian tersebut dipersetujui sebulat suara oleh ketiga-tiga sayap kepimpinan parti di peringkat bahagian.
Dalam mesyuarat sama, PRS Bahagian Ngemah turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Premier Sarawak.
Sokongan turut diberikan kepada Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap ADUN Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai sebagai Presiden PRS.
Sementara itu, mesyuarat berkenaan turut mengemukakan resolusi supaya lebih banyak peluang latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), biasiswa serta peluang pekerjaan diwujudkan khusus untuk golongan belia di kawasan DUN Ngemah.
Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan penting bagi membolehkan golongan muda memperoleh kemahiran dan peluang ekonomi yang lebih baik, sekali gus mengurangkan penghijrahan belia ke kawasan bandar.
AGM tersebut dipengerusikan Anyi selaku Pengerusi PRS Bahagian Ngemah.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PRS Bahagian Ngemah Ramba Resang, Setiausaha, Juat Jagok dan Bendahari, Soraiman Bennet Ringgit, Ketua Pergerakan Wanita PRS Bahagian Ngemah merangkap Naib Ketua Pergerakan Wanita PRS Pusat, Kaunselor Mutang Karani serta Ketua Pergerakan Pemuda PRS Bahagian Ngemah merangkap Exco Pergerakan Pemuda PRS Pusat, Kaunselor Stenny Willis Jenggi.
Mesyuarat turut disertai AJK Induk, Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda PRS Bahagian Ngemah.
Oleh Akun Giman




