SIBU, 7 Oktober: Dua unit alat defibrilator luaran automatik (AED) ditaja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan henti jantung di kawasan tumpuan awam.
Chieng berkata, satu unit AED ditempatkan di Pasar Sementara Jalan Tiong Hua, manakala satu lagi akan dipasang di Pasar Sentral Sibu.
Menurutnya, pemasangan peralatan berkenaan bertujuan menyediakan persekitaran lebih selamat kepada penjaja, peniaga serta orang ramai yang mengunjungi kedua-dua pasar tersebut.
“Pasar merupakan tempat tumpuan orang ramai untuk membeli barangan keperluan harian, menikmati makanan dan menjalankan pelbagai aktiviti.
“Justeru, penyediaan AED di lokasi seperti ini amat penting bagi membolehkan bantuan kecemasan diberikan dengan segera sekiranya berlaku kes henti jantung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran AED di Pasar Sementara Jalan Tiong Hua di sini, hari ini.

Chieng berkata, penyakit jantung masih menjadi antara penyebab utama kematian di Malaysia dengan 17,421 kematian direkodkan pada 2024, bersamaan purata kira-kira 1,452 kematian sebulan.
Katanya, angka tersebut amat membimbangkan memandangkan kejadian kecemasan berkaitan jantung boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk ketika seseorang sedang bersukan, membeli-belah atau menjalankan aktiviti harian.
“Kita sering mendengar kejadian individu rebah secara tiba-tiba ketika bermain badminton, bersukan atau berada di pasar.
“Dalam situasi kecemasan seperti ini, setiap minit amat berharga kerana tempoh awal sekitar empat minit sangat kritikal untuk memberikan bantuan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau menegaskan kepentingan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) bersama penggunaan AED bagi meningkatkan peluang mangsa henti jantung untuk diselamatkan.
“Setiap minit amat penting. Dengan bantuan CPR dan AED, kita berharap lebih banyak nyawa dapat diselamatkan apabila berlaku kecemasan.
“Saya berharap pemasangan dua unit AED ini dapat membantu mewujudkan komuniti yang lebih selamat, khususnya di kawasan Bukit Assek,” katanya.
Chieng berharap lebih banyak kemudahan AED dapat dipasang di kawasan awam bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi kecemasan.
Beliau berkata, program berkenaan dianjurkan bersama Kelab Lions Sibu Mandarin dan SABERKAS Cawangan Bukit Assek.
Turut hadir ialah Gabenor Daerah Lions Clubs International District 308-A2, Dato Jimmy Tie; Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Kecil MPS, Kaunselor Jenny Ting Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr Teh Jo Hun dan Presiden Kelab Lions Sibu Mandarin, Siow Kok Ping serta yang lain.
Oleh Akun Giman




