KUALA LUMPUR, 7 Oktober: Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum menurun kemudiannya, didorong oleh aktiviti jualan di kaunter saham wajaran tinggi terpilih, diterajui sektor perkhidmatan kewangan serta produk dan perkhidmatan perindustrian.
Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 3.68 mata kepada 1,629.67 daripada 1,633.35 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks dibuka tinggi 0.19 mata kepada 1,633.54.
Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 221 berbanding 180 manakala 306 kaunter tidak berubah, 2,083 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 327.37 juta unit bernilai RM150.56 juta.
Hong Leong Bank menurun 10 sen kepada RM21.98, CIMB berkurangan 15 sen kepada RM7.55 dan Press Metal Aluminium merosot enam sen kepada RM7.13.
Ketiga-tiga kaunter tersebut secara keseluruhannya menyumbang kepada penurunan 7.23 mata dalam indeks komposit.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengekalkan momentum positif semalaman, dengan indeks S&P 500 bergerak menghampiri paras tertinggi harian disokong oleh lonjakan saham sektor teknologi.
“Ini walaupun hasil bon Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun kekal tinggi pada 5.286 peratus manakala harga minyak mentah Brent kekal melebihi paras US$100 setong.
“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng mengekalkan aliran menaiknya, disokong oleh minat baharu terhadap saham berkaitan teknologi berikutan sentimen yang pulih dalam harga minyak mentah yang semakin stabil,” katanya kepada Bernama.
Dalam negara, Thong berkata beliau menjangka terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah walaupun sebarang kenaikan mungkin terjejas oleh aktiviti jualan daripada dana asing berikutan FBM KLCI yang mencatatkan prestasi positif semasa ditutup semalam.
“Oleh itu, kami menjangka indeks berada dalam julat 1,630 hingga 1,640 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, AMMB menurun lima sen kepada RM6.42, Petronas Gas berkurangan lapan sen kepada RM17.20, Mr D.I.Y. merosot satu sen kepada RM1.24, IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM7.94 dan Maybank naik dua sen kepada RM9.99.
Dalam dagangan aktif, Top Glove meningkat 5.5 sen kepada 93 sen, Supermax menokok 2.5 sen kepada 48.5 sen, Zetrix AI dan Ni Hsin, masing-masing menurun setengah sen kepada 8.5 sen dan 37 sen serta Metronic Global mendatar pada setengah sen.
Kaunter paling untung ialah Malaysian Pacific Industries melonjak 62 sen kepada RM45.58, Nestle naik 32 sen kepada RM91.58, Mi Technovation meningkat 19 sen kepada RM6.19, Critical Holdings menambah 12 sen kepada RM2.81 dan Hengyuan Refining Company menokok sembilan sen kepada RM3.55.
Kaunter paling rugi termasuklah TMK Chemical berkurangan lapan sen kepada RM2.61, Pekat menurun lima sen kepada RM2.91, Stratus Global dan Solarvest, masing-masing merosot empat sen kepada RM3.09 dan RM4.33 serta Malaysia Smelting menyusut tiga sen kepada RM1.65.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 naik 61.25 mata kepada 17,795.36, Indeks FBM Emas berkurangan 5.46 mata kepada 12,227.41 dan Indeks FBM Top 100 menurun 9.15 mata kepada 12,006.63.
Indeks FBM Emas Shariah meningkat 26.12 mata kepada 12,185.10 dan Indeks FBM ACE naik 0.94 mata kepada 5,659.86.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menurun 0.09 mata kepada 180.32, Indeks Tenaga naik 6.79 mata kepada 847.51 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 134.06 mata kepada 18,933.94.
Indeks Perladangan meningkat 9.57 mata kepada 9,051.74.- Bernama





