SARATOK, 6 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan polis di Saratok semalam kerana disyaki terlibat dalam kes khianat dengan api yang berlaku di sebuah kedai serbaneka di Jalan Green Road, Kuching.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan itu dilakukan sekitar 4.00 petang, hasil tindakan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok.
Menurutnya, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan polis Saratok/3708/26 yang disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 21 tahun berasal dari Sarikei dan kini bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah gerai makan di Saratok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas dua unit telefon bimbit iaitu sebuah Realme C63 dan Redmi 12C yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes.
Semakan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau, masing-masing berkaitan kes di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan satu lagi laporan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
DSP Mathew berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat dalam satu kes khianat dengan api yang berlaku di kawasan Jalan Green Road, Kuching.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan pihak polis memaklumkan status siasatan adalah selesai.
Oleh Adi Safarman




