PETRA JAYA, 6 Oktober: Tampines Rovers yakin mampu menewaskan Kuching City FC dalam aksi Kejohanan Kelab Asean(ACC) Piala Shopee Asean, di Stadium Taha Ariffin , esok.
Ketua jurulatihnya, Mohamad Nazri Nasir, berkata keyakinan itu bersandarkan kualiti skuad yang dimiliki Tampines Rovers, termasuk barisan pemain kebangsaan serta pemain import yang sudah lama membentuk persefahaman bersama.
Menurutnya, Tampines Rovers tidak bertandang ke Kuching dengan sasaran sekadar mengutip keputusan seri, sebaliknya mahu membawa pulang kemenangan.

“Seperti yang saya katakan, kami datang bukan untuk sekadar mendapatkan keputusan seri. Kami datang untuk mendapatkan keputusan dan sudah tentu kami mahu menang.
“Kami percaya kami mempunyai kualiti yang lebih baik. Kami mempunyai pemain kebangsaan yang bagus, selain pemain import yang sudah bersama selama dua atau tiga musim,” katanya pada sidang media praperlawanan ACC Piala Shopee Asean, di Stadium Taha Ariffin, hari ini.
Nazri bagaimanapun mengakui Kuching City bukan lawan mudah, malah menyifatkan skuad itu sebagai pasukan yang konsisten dalam Liga Super Malaysia sejak beberapa musim lalu.
Katanya, Tampines Rovers turut mengambil kira kelebihan Kuching City yang beraksi di laman sendiri serta keinginan pasukan itu untuk bangkit selepas tewas kepada Phnom Penh Crown dalam aksi Liga Juara Asia 2 (ACL 2) sebelum ini.
“Kami tahu Kuching adalah pasukan yang bagus dan bukan mudah untuk dilawan. Mereka mempunyai pemain tempatan dan pemain asing yang baik.
“Mereka juga pasti sangat dahagakan keputusan, terutama kerana bermain di tempat sendiri. Jadi, kami sudah bersedia untuk menghadapi perkara itu,” katanya.
Nazri berkata, persiapan Tampines Rovers berjalan lancar dengan pemain menjalani latihan selama tiga hingga empat hari dalam keadaan yang cukup baik.
“Saya dapat lihat mereka sangat tajam dan semuanya tidak sabar untuk perlawanan ini,” katanya.
Sementara itu, penjaga gawang Tampines Rovers, Muhammad Zharfan Rohaizad berkata, seluruh pemain berada pada tahap keyakinan dan semangat yang tinggi menjelang perlawanan itu.
“Tiada siapa datang ke perlawanan dengan niat untuk kalah. Saya rasa pemain sangat yakin dan kami semua teruja untuk bermain esok,” katanya.




