SIMANGGANG, 6 Oktober: Pengalaman berdepan ekzema kronik mendorong seorang anak Sarawak, Sulie Lungkan Abell, 37, membangunkan jenama penjagaan kulit semula jadi, Sluvi, yang bukan sahaja mengetengahkan khasiat bahan semula jadi Borneo, malah turut memberi manfaat kepada komuniti petani luar bandar.
Sulie yang keluarganya berasal dari Simanggang pada awalnya tidak pernah membayangkan dirinya bergelar usahawan. Beliau pernah bekerja dalam bidang hartanah dan membesar dalam keluarga yang majoritinya berkhidmat dengan kerajaan.
Dilahirkan di Pahang sebelum berpindah-randah ke beberapa lokasi di Sarawak mengikut tugasan bapanya sebagai penjawat awam, pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk sifat ingin tahu dalam dirinya.
“Saya suka mengkaji apa yang dijual oleh peniaga di setiap tempat, tetapi tidak pernah terfikir untuk menjadi usahawan,” katanya.
Minat terhadap dunia keusahawanan mula berkembang apabila beliau mengikuti pelbagai kursus perniagaan percuma anjuran agensi kerajaan ketika masih bekerja.
Namun, titik perubahan terbesar dalam kehidupannya berlaku apabila beliau mengalami ekzema kronik sehingga sukar mendapatkan produk penjagaan kulit yang sesuai dengan keadaan kulitnya yang sangat sensitif.
Atas nasihat doktor, Sulie mula meneroka penggunaan bahan semula jadi sebagai alternatif dan menjalankan kajian sendiri sebelum menghasilkan produk penjagaan kulit secara buatan tangan.
Hasilnya, produk yang dihasilkan itu memberikan kesan positif terhadap keadaan kulitnya.
Daripada pengalaman peribadi tersebut, Sulie kemudian menyedari bahan semula jadi yang diperlukan sebenarnya mudah diperoleh di sekitar kampungnya di Melugu, kira-kira 20 kilometer dari Bandar Simanggang.
Ketika mendapatkan bahan berkenaan, beliau bertemu dengan Nancy, seorang penternak lebah. Perbualan itu membuka matanya terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi golongan petani selepas mengetahui sebahagian daripada mereka memperoleh pendapatan kurang daripada RM200 sebulan.
“Pada ketika itu, saya mula terfikir, bagaimana saya boleh membantu para petani ini? Daripada situ, keadaan tersebut memberi inspirasi kepada saya untuk memulakan Sluvi,” katanya.
Menurut Sulie, Sluvi bukan sekadar jenama penjagaan kulit, sebaliknya dibangunkan sebagai sebuah perusahaan sosial yang menghubungkan produk, petani dan komuniti.



PRODUK penjagaan kulit jenama Sluvi antaranya Lemon Coffee Body Scrub, Aloe Green Tea Face Mask dan Rice Face Mask. Foto Sulie Lungkan Abell
Nama Sluvi merupakan akronim yang berasal daripada ‘SLU’ yang merujuk kepada nama Sulie Lungkan, manakala ‘V’ membawa maksud visi dan ‘I’ merujuk kepada inisiatif.
Visi utama Sluvi adalah untuk mewujudkan ekosistem pertanian yang lebih baik di kampung-kampung Sarawak dengan membantu petani meningkatkan pendapatan, kemahiran serta pengetahuan dalam bidang pertanian.
Pada masa sama, Sluvi mendapatkan bahan semula jadi secara terus daripada petani melalui pendekatan perdagangan adil atau Fair Trade.
“Bagi kami, ketelusan sangat penting, daripada sumber bahan mentah, proses penghasilan sehinggalah produk tersebut sampai ke tangan pelanggan,” katanya.
Antara keistimewaan Sluvi ialah penggunaan bahan semula jadi dari Borneo yang dihasilkan secara buatan tangan dan ditawarkan pada harga berpatutan.
Bahan yang diketengahkan termasuk madu kelulut, beras, kopi Borneo, halia serta pelbagai bahan semula jadi lain yang dipilih berdasarkan manfaat dan fungsinya.
Sulie berkata, kekayaan biodiversiti Borneo mempunyai nilai tersendiri dan wajar diketengahkan kepada pasaran yang lebih luas.
Menurutnya, walaupun bahan seperti halia, madu, lidah buaya dan kopi turut terdapat di kawasan lain, bahan yang berasal dari Borneo mempunyai keunikan tersendiri kerana dipengaruhi oleh persekitaran serta tanah di rantau ini.
“Sebab itu, kami begitu teruja untuk mengetengahkan keistimewaan bahan-bahan semula jadi Borneo melalui Sluvi dan, jika diberi peluang, membawa keunikan ini ke mata dunia,” katanya.
Dalam membangunkan produk, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) menjadi antara cabaran terbesar kerana Sluvi memberi perhatian kepada keseluruhan rantaian bekalan, bermula daripada proses penanaman bahan mentah oleh petani sehingga produk siap berada di pasaran.
Sluvi turut membimbing petani menyesuaikan kaedah pertanian dengan keperluan penghasilan bahan mentah syarikat.
“Bagi kami, kualiti produk Sluvi bermula daripada cara bahan mentah itu ditanam di peringkat ladang,” katanya.


PRODUK penjagaan kulit jenama Sluvi antaranya Toner Rosewater and Aloe dan Stingless Bee Honey Face & Body Soap. Foto Sulie Lungkan Abell
Usaha itu selari dengan matlamat Sluvi untuk memperkasakan petani melalui latihan, bengkel pertanian dan perkongsian pengetahuan.
Hasil pendekatan tersebut, Sulie berkata pendapatan sebahagian petani yang terlibat berjaya ditingkatkan kepada sekitar RM2,000 dan ke atas sebulan, sekali gus memberi impak kepada 15 keluarga petani setakat ini.
Selain itu, usaha Sluvi turut membantu memberi kesedaran kepada kira-kira 5,000 rakyat Malaysia mengenai manfaat produk semula jadi.
Bagi Sulie, kejayaan sesebuah perniagaan tidak seharusnya diukur berdasarkan keuntungan semata-mata, sebaliknya sejauh mana perniagaan tersebut mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau mengamalkan konsep Inclusive Capitalism, iaitu pendekatan yang memastikan peluang serta manfaat ekonomi dikongsi bersama pihak yang terlibat dalam rantaian perniagaan.
Dalam perjalanan tersebut, sokongan ibu bapa serta agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) turut menjadi antara faktor penting yang membantu perkembangan Sluvi menerusi sokongan kewangan, penyertaan dalam ekspo serta kursus keusahawanan.
Sebagai wanita Iban, Sulie turut melihat pemerkasaan komuniti sendiri sebagai tanggungjawab bersama.
“Pengalaman bekerja dalam komuniti memberi pelbagai kesedaran betapa pentingnya memperkasakan komuniti kita sendiri terlebih dahulu. Jika bukan kita, siapa lagi?” katanya.
Kini, produk Sluvi bukan sahaja mendapat pasaran di Sarawak, malah telah dihantar ke beberapa negara termasuk Singapura, Indonesia, Brunei, Taiwan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Menurut Sulie, peluang menyertai ekspo antarabangsa menerusi sokongan agensi kerajaan negeri Sarawak turut membantu memperkenalkan produk tempatan kepada pasaran luar.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, beliau menyasarkan untuk membantu meningkatkan pendapatan petani kepada sekitar RM5,000 dan ke atas sebulan serta memberi impak kepada 30 keluarga petani.
Sluvi juga sedang melalui proses inovasi bagi menghasilkan dua produk baharu yang dijangka diperkenalkan pada masa akan datang.


SULIE Lungkan Abell semasa menerangkan produk kepada para pelanggannya. Foto Sulie Lungkan Abell
Bagaimanapun, identiti produk tersebut masih dirahsiakan sebagai kejutan kepada pelanggan.
Bagi wanita muda Sarawak yang mempunyai impian untuk bergelar usahawan, Sulie berkongsi nasihat agar mereka bermula dengan langkah kecil.
“Mulakan dengan langkah yang kecil. Tingkatkan satu kemahiran. Ambil satu inisiatif. Dapatkan satu pengalaman sebenar. Langkah-langkah kecil mampu membawa perubahan yang besar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa seseorang perlu mencintai apa yang dilakukan kerana apabila pekerjaan dilakukan dengan minat dan tujuan yang jelas, setiap cabaran akan lebih mudah dilalui.
Bagi Sulie, tujuan hidupnya bukan sekadar membina perniagaan, tetapi turut memberi manfaat kepada keluarga, memperkasakan komuniti menerusi Sluvi, membantu haiwan terbiar serta menjaga alam sekitar.
“Dalam apa-apa kerja, selalulah mudahkan keadaan. Bila semua kerja dipermudahkan, hasilnya akan gempak,” katanya.
Kisah Sulie membuktikan bahawa sesuatu yang bermula daripada cabaran peribadi mampu berkembang menjadi sebuah usaha yang memberi manfaat lebih luas, bukan sahaja dalam penjagaan kulit, malah dalam memperkasakan petani serta membawa keunikan sumber semula jadi Borneo ke pasaran dunia.
Oleh Adi Safarman




