SARATOK, 6 Oktober: Tebingan Sungai Krian bakal dinaik taraf menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), dengan lokasi yang sesuai turut dikenal pasti bagi penganjuran Regata Kalaka 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata pembangunan berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan serta merancakkan aktiviti di kawasan luar bandar.
Katanya, peruntukan melalui BDDA dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) membolehkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dan DUN Krian berdasarkan keperluan serta permintaan masyarakat setempat.
“Seperti yang dirancangkan melalui dana BDDA, Tebingan Sungai Krian akan dinaik taraf melalui peruntukan BDDA dan kita akan memilih tempat yang sesuai untuk mengadakan Regata Kalaka 2027,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohamad Duri, peningkatan kemudahan di kawasan berkenaan bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada penduduk, malah berpotensi menyokong penganjuran aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan dan sukan air pada masa akan datang.
Beliau berkata, perancangan tersebut turut mengambil kira potensi kawasan Sungai Krian sebagai lokasi yang dapat menghidupkan aktiviti masyarakat serta menjadi tumpuan pengunjung menerusi penganjuran program dan acara tertentu.
Dalam pada itu, Mohamad Duri berkata, Pesta Saratok 2026 yang melabuhkan tirainya Ahad lalu berjaya menjadi platform untuk memperkukuh hubungan silaturahim serta merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, kejayaan penganjuran pesta berkenaan wajar diberikan penghargaan kepada ADUN Krian, Friday Belik, selaku tuan rumah, selain semua agensi dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
“Syukur Alhamdulillah, Pesta Saratok 2026 telah melabuhkan tirainya. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada rakan saya, ADUN Krian, Friday Belik, selaku tuan rumah penganjuran bagi tahun ini serta semua agensi yang terlibat,” katanya.
Menurutnya, kerjasama erat antara beliau dan ADUN Krian dalam pelbagai perkara, khususnya berkaitan pembangunan Daerah Saratok, penting bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.
Katanya, penganjuran Pesta Saratok turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat dan usahawan menerusi peluang perniagaan yang disediakan sepanjang berlangsungnya pesta berkenaan.
“Pelbagai aktiviti yang disediakan membolehkan semua lapisan masyarakat turut serta memeriahkan Pesta Saratok, di samping mengeratkan silaturahim dan memperkukuh perpaduan dalam komuniti Saratok,” katanya.
Mohamad Duri turut berkongsi penglibatannya dalam perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Ketua Jabatan Bahagian Betong dan pasukan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Saratok yang berlangsung di Padang Majlis Daerah Saratok sebagai sebahagian daripada pengisian Pesta Saratok 2026.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang menyertai Regata Krian 2026 serta peserta yang mengambil bahagian dalam pelbagai program dan pertandingan, termasuk Pangkah Gasing Kalaka, badminton dan petanque.
Mohamad Duri berharap objektif penganjuran Pesta Saratok 2026 dapat dicapai sepenuhnya, selaras dengan cogan kata pesta berkenaan, “Muafakat Membawa Berkat”.
Oleh Adi Safarman




