PETRA JAYA, 6 Oktober: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak memberi penekanan terhadap penguasaan maklumat, ilmu dan kemahiran dalam kalangan jentera parti sebagai persediaan membentuk naratif bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata jentera parti perlu mempunyai maklumat yang mencukupi berkaitan kemajuan dan pembangunan Sarawak supaya perkara tersebut dapat disampaikan kepada masyarakat dengan jelas dan berkesan.
Katanya, pelbagai program yang dilaksanakan oleh Wanita PBB dan kerajaan Sarawak menjadi platform untuk jentera menambah pengetahuan serta memahami perkembangan dan kemajuan negeri berdasarkan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Sebagai jentera parti, kita mesti ada maklumat, kita mesti ada ilmu, kita mesti ada kemahiran.
“Dengan itu, kita akan mempunyai maklumat dan ilmu yang mencukupi untuk membentuk naratif yang akan kita gunakan pada pilihan raya yang akan datang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB Sarawak Bilangan 6, Penggal 2025 hingga 2028 di Ibu Pejabat PBB Sarawak, hari ini.
Fatimah berkata, antara program yang dilaksanakan Wanita PBB ialah Kamek Prihatin, Kita Penting dan Simpulan Kasih yang telah dilaksanakan di enam zon, selain program Sarawak Kita Empun (SKE).
Beliau berkata, Program Sarawakku Sayang yang dianjurkan kerajaan Sarawak turut memberi peluang kepada jentera Wanita PBB mendapatkan maklumat secara lebih dekat berkaitan pembangunan serta agenda semasa negeri.
Menurutnya, Program Sarawakku Sayang telah dilaksanakan sebanyak lapan siri dan masih mempunyai empat siri lagi yang akan dijalankan.
Dalam ucapan pada mesyuarat berkenaan, Fatimah turut memaklumkan Konvensyen PBB telah dilaksanakan di dua daripada tiga zon, iaitu Zon Tengah dan Zon Utara.
Katanya, antara perkara yang diketengahkan dalam konvensyen berkenaan ialah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta perkembangan dan kemajuan Sarawak di bawah PCDS 2030.
Menurut Fatimah, pendedahan melalui pelbagai program dan aktiviti berkenaan penting bagi memastikan jentera parti memahami isu, dasar serta perkembangan negeri yang perlu disampaikan kepada masyarakat ketika pilihan raya.
Beliau berkata, penguasaan maklumat yang baik juga penting bagi memastikan jentera Wanita PBB dapat menyampaikan mesej parti secara tersusun dan berdasarkan fakta kepada masyarakat.
Fatimah turut menggariskan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kemajuan dan pembangunan negeri di bawah PCDS 2030, MA63 serta slogan “Jaga Sarawak Intu Sarawak” sebagai antara naratif kempen yang akan dibawa pada PRN akan datang.





