Kuching perlukan lebih banyak bilik hotel, 13,000 masih belum mencukupi

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak berucap pada majlis perasmian Hotel The Everly Lhesson Kuching.

KUCHING, 6 OKTOBER: Kuching kini mempunyai kira-kira 13,000 bilik hotel, namun jumlah berkenaan masih belum mencukupi bagi menampung permintaan penginapan yang semakin meningkat, khususnya susulan penganjuran pelbagai acara berskala besar di bandar raya ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata permintaan terhadap bilik hotel dijangka terus meningkat dengan Sarawak bakal menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 serta beberapa acara antarabangsa lain.

Beliau berkata, kekurangan bilik hotel di Kuching ketika ini menyebabkan sebahagian pengunjung terpaksa mendapatkan penginapan alternatif seperti inap desa.

“Pada masa ini kita tidak mempunyai bilik yang mencukupi, orang terpaksa pergi ke inap desa.

“Keadaan sama pernah berlaku ketika penganjuran Sukan Malaysia (Sukma), apabila permintaan terhadap penginapan meningkat,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Hotel The Everly Lhesson Kuching, di sini, hari ini.

SIMBOLIK perasmian Hotel The Everly Lhesson Kuching disempurnakan oleh Premier Sarawak.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan hotel berkenaan, Abang Johari berkata jumlah keseluruhan bilik hotel di Kuching ketika ini adalah kira-kira 13,000.

“13,000 untuk Kuching. Jumlah bilik di Kuching kira-kira 13,000,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut mengambil kira aspek keselesaan atlet dan pegawai apabila memutuskan supaya semua mereka ditempatkan di hotel sepanjang penganjuran Sukan SEA 2027.

“Permintaan terhadap bilik hotel turut meningkat susulan banyak permintaan untuk menganjurkan acara perniagaan dan persidangan di Kuching.

“Pembukaan hotel baharu seperti Hotel The Everly Lhesson Kuching dapat menambah pilihan penginapan sekali gus menyokong perkembangan sektor pelancongan dan industri acara di bandar raya ini.

RAKAMAN gambar kenangan sempena perasmian Hotel The Everly Lhesson Kuching.

“Kapasiti penginapan juga perlu terus diperkukuh selaras dengan sasaran Kuching menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran lebih banyak acara berskala besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari hari ini merasmikan pembukaan Hotel The Everly Lhesson Kuching yang mula beroperasi kira-kira enam bulan lalu dengan menyediakan 238 bilik.

Pembukaan hotel berkenaan dijangka menambah pilihan penginapan di Kuching, khususnya bagi memenuhi permintaan daripada pelancong, peserta persidangan serta pengunjung yang menghadiri pelbagai acara di bandar raya ini.

Everly Group mula bertapak di Sarawak pada 1990 menerusi pengurusan Hotel Rajah Court di Kuching sebelum mengembangkan penglibatannya dalam beberapa projek hotel lain di negeri ini.

Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027, selain beberapa acara antarabangsa lain yang dijangka berlangsung di Kuching, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap kemudahan penginapan di bandar raya berkenaan.

Oleh Masrin Affirah