KUCHING, 6 Oktober: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, memberi amaran bahawa sistem kesihatan di Sabah dan Sarawak kini berdepan krisis susulan kekurangan doktor serta isu keselamatan perkhidmatan perubatan di kawasan luar bandar yang semakin membimbangkan.
Ketika membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat semalam, Yii berkata nahas helikopter pada 8 September di Long Lellang, Ulu Baram, yang mengorbankan lima petugas ketika menjalankan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat pedalaman, tidak boleh dianggap sebagai sekadar kemalangan penerbangan.
Beliau berkata helikopter model BO-105 yang dikendalikan Layang-Layang Aerospace itu dikeluarkan pada 1991, manakala pengeluaran model berkenaan dihentikan pada 2001.
“Lima nyawa terkorban ketika membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman. Mereka berhak mendapat pesawat yang selamat dan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.
Yii mempersoalkan tindakan menggantung seluruh armada helikopter BO-105 syarikat berkenaan dua hari selepas nahas dan mahu kerajaan menjelaskan mengapa tindakan tersebut hanya diambil selepas tragedi berlaku.
Beliau turut menggesa kerajaan mendedahkan maklumat mengenai kontrak antara Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dengan Layang-Layang Aerospace, termasuk nilai kontrak, proses perolehan, syarat berkaitan usia pesawat serta tarikh audit bebas terakhir terhadap rekod penyelenggaraan syarikat berkenaan.
Beliau turut menggesa laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) didedahkan kepada umum secepat mungkin.
“Jika didapati penyelenggaraan diabaikan atau amaran tidak dihiraukan, ini bukan lagi kemalangan biasa. Ia mesti disiasat polis sebagai kemungkinan kecuaian jenayah dan mereka yang bertanggungjawab perlu berdepan tindakan undang-undang,” katanya.
Yii turut menggesa kerajaan memberikan pampasan tambahan kepada lima keluarga mangsa selain bayaran ihsan, termasuk menyediakan dana pendidikan untuk anak-anak mangsa sehingga peringkat universiti serta bantuan sara hidup bulanan kepada tanggungan yang kehilangan sumber pendapatan utama.
Beliau berkata setiap keluarga juga perlu dimaklumkan dengan jelas mengenai jumlah dan tarikh bayaran, selain seorang pegawai khusus dilantik untuk membantu setiap keluarga sepanjang proses pemulihan.
Kekurangan doktor semakin membimbangkan
Beralih kepada isu kekurangan doktor, Yii berkata kadar pegawai perubatan yang tidak melapor diri bagi pelantikan tetap meningkat daripada dua peratus pada 2022 kepada 20 peratus pada 2023, kira-kira 40 peratus pada 2025 dan 66 peratus bagi penempatan di hospital di Sabah pada bulan ini.
Katanya, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pula melaporkan kadar antara 70 hingga 76 peratus di Sabah dan Sarawak.
Yii berkata Hospital Beluran dilaporkan tidak menerima seorang pun doktor baharu pada 28 September dan kini hanya mempunyai enam doktor.
Sementara itu, Hospital Kanowit hanya mempunyai tiga doktor, manakala Kudat menerima empat daripada 17 jawatan dan Sri Aman enam daripada 20 jawatan yang diperuntukkan.
“Ini bukan lagi tanda amaran. Ini satu kecemasan,” katanya.
Beliau mengakui kerajaan telah membuat lebih 18,500 lantikan tetap sejak 2023, namun berkata usaha itu tidak bermakna sekiranya doktor terus menolak atau tidak melapor diri bagi penempatan yang ditawarkan.
Menurutnya, masalah itu berpunca daripada isu sistemik, termasuk perubahan kadar bayaran di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menyebabkan perbezaan antara Bayaran Insentif Wilayah (BIW) dan Bayaran Insentif Wilayah Sabah dan Sarawak (BISH) hanya sekitar RM60.
Yii mencadangkan supaya Bayaran Insentif Wilayah (BIW) secara progresif untuk petugas kesihatan di Sabah dan Sarawak dikembalikan, selain bantuan perpindahan diberikan lebih awal berdasarkan kos sebenar.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang mempunyai kuasa untuk menentukan skim saraan sendiri tanpa terikat sepenuhnya kepada skim perkhidmatan awam.
Selain itu, beliau mencadangkan kenaikan pangkat diberikan sebaik sahaja doktor dilantik secara tetap, manakala pengalaman berkhidmat di Sabah dan Sarawak dijadikan satu kelebihan dalam mendapatkan latihan kepakaran.
Beliau turut mencadangkan tempoh perkhidmatan yang jelas antara 12 hingga 24 bulan, disertai pakej dan manfaat kerjaya yang setimpal.
Yii berkata kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan dengan menawarkan bonus dan insentif tambahan kepada petugas kesihatan yang berkhidmat di negeri masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu perlu disertai pemulangan hasil yang sewajarnya kepada Sabah dan Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Cadang pengambilan doktor asing sebagai langkah sementara
Sebagai langkah jangka pendek, Yii turut menggesa kerajaan mempertimbangkan pengambilan doktor asing, khususnya graduan perubatan antarabangsa yang telah dilatih di universiti perubatan di Malaysia, tertakluk kepada keperluan keselamatan pesakit.
“Ini hanya jambatan sementara, bukan pengganti kepada usaha membaiki gaji dan prospek kerjaya doktor kita sendiri,” katanya.
Yii berkata Sabah dan Sarawak tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya mahukan akses yang sama kepada perkhidmatan kesihatan.
“Mereka meminta doktor ketika sakit, jururawat di wad pada waktu malam dan helikopter yang mendarat dengan selamat.
“Doktor dan jururawat kita pula hanya meminta dibayar secara adil, dinaikkan pangkat tepat pada masanya dan dijaga keselamatannya.
“Adakah itu terlalu banyak untuk diminta?” katanya.
Oleh Connie Chieng




