Mengimbau Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak 1964

Facebook
WhatsApp

SABTU ini 10 Oktober 2026, Sarawak akan menyambut Hari Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Institusi Yang di-Pertua Negeri Sarawak merupakan sebuah institusi penting yang telah lama wuju ddalam sejarah pentadbiran negeri.

Sebagai Ketua Negeri Sarawak, Yang di-Pertua Negeri memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sehubungan itu, setiap tahun, sambutan rasmi Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak diadakan bagi memperingati dan menghormati institusi serta kedudukan Ketua Negeri Sarawak.

Sejak Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada 1963, Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak diraikan setiap tahun sehingga kini. Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak juga merupakan salah satu cuti umum yang diwartakan bagi negeri Sarawak.

Genting

Antara sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang penting dalam sejarah negeri ini ialah sambutan pada 1964. Ini kerana Sarawak yang baru sahaja mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada 1963 sedang berhadapan dengan ancaman Konfrontasi Indonesia-Malaysia yang menjejaskan kestabilan dan keamanan negeri.

Kejadian serangan dari sempadan Sarawak memang kerap berlaku termasuk serangan pihak musuh pada 2 Oktober 1964 di sebuah kawasan berdekatan dengan Lubok Antu. 

Satu lagi kes kejadian serangan berlaku di Biawak, Daerah Lundu, manakala pada sebelum senja sehari sebelum sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ini juga Kampung Tepoi, Serian menerima serangan mortar dari sempadan Indonesia.

TUN Datuk Patinggi Abang Openg.

Namun demikian situasi tegang di sempadan Sarawak dan Kalimantan tidak mengganggu persiapan mengadakan sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Ini kerana sebagai sebuah negeri merdeka, Sarawak tetap mempertahankan kedaulatannya dengan menunjukkan bahawa sambutan itu sebagai simbol kepada keketalan, kekuatan dan perpaduan rakyat Sarawak.

Persiapan

Oleh itu, pelbagai acara menarik telah dianjurkan sempena sambutan tersebut, dan paling utama adalah acara perarakan. Bagi acara perarakan itu, sebuah pentas khas telah disediakan untuk Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan para tetamu kehormat bagi menyaksikan perarakan.

Sambutan ketika itu diadakan pada 5 Oktober 1964. Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketika itu adalah Tun Datuk Patinggi Abang Openg Abang Sapiee. Beliau dipilih sebagai Yang di-Pertua Negeri  pertama Sarawak.

Oleh itu pelantikan Tun Datuk Patinggi Abang Openg sebagai Yang di-Pertua Negeri pertama Sarawak memulakan tradisi sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri  Sarawak.

Sambutan

Pada hari sambutan tersebut acara perarakan merupakan acara paling utama dijalankan. Acara ini dijalankan di Padang Sentral, manakala penduduk sekitar Kuching amat teruja dengan perayaan ini. Ada kala mereka datang seawal jam tujuh pagi untuk tidak melepas peluang menyaksikan perarakan tersebut.

Sementara itu Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama isterinya, Datin Masniah tiba pada jam 8 pagi dengan diiringi oleh peronda polis. Ketibaan beliau juga disambut dengan tembakan meriam sebanyak tujuh belas kali dari Fort Margherita.

Perarakan bermula dengan Batalion ke-4, Pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja, diikuti pula oleh Renjer Sarawak dan Pasukan Polis Hutan Diraja Malaysia. 

DATO Stephen Kalong Ningkan.

Beberapa lagi pasukan yang mengambil bahagian dalam perararakan ini termasuk Persatuan Bekas Anggota Tentera Sarawak, Pengangkap, Pandu Puteri, Pasukan Tunas (Brownies) dan Briged Putera.

Selepas itu, Tun Datuk Patinggi Abang Openg menjalankan pemeriksaan hormat terhadap pasukan perarakan, diiringi oleh Pegawai Pemerintah Perarakan tersebut, Major Mansoor, dari Rejimen Askar Melayu Diraja.

Ucapan

Acara diteruskan dengan ucapan taat setia oleh Ketua Menteri Sarawak, Dato Stephen Kalong Ningkan. Dalam ucapannya, beliau menyatakan harapan agar sambutanHari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dapat diraikan dengan penuh kegembiraan.

Beliau turut menegaskan bahawa sambutan tersebut mempunyai makna yang istimewa kerana genap setahun Sarawak mencapai kebebasan dan kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Beliau turut menyentuh tentang liku-liku yang dihadapi Sarawak sepanjang tempoh setahun selepas mencapai kemerdekaan. Menurut beliau, Sarawak berdepan pelbagai ancaman keselamatan yang datang bukan sahaja dari luar, malah juga dari dalam negeri.

Bagaimanapun, ancaman tersebut berjaya ditangani melalui kerjasama dan kecekapan pasukan keselamatan. Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan negara, British dan Gurkha yang telah memberikan sumbangan penting dalam usaha mempertahankan keselamatan dan menangani ancaman musuh terhadap Sarawak.

Ucapan Tun Datuk Patinggi Abang Openg menyentuh tentang rasa syukur kepada Allah dengan pertunjukNya dapat memberi kejayaan kepada Sarawak dalam mengurus pentadbiran dibawah sistem demokrasi. 

Beliau juga memuji Ketua Menteri dan ahli kabinetnya atas usaha yang cemerlang telah berjaya melaksanakan projek sosial dan pembangunan dalam berdepan dengan kesukaran dan ancaman luar. 

Beliau juga menyatakan bahawa kemerdekaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia merupakan pilihan yang betul, dan menyatakan juga bahawa pihak yang dahulu tidak menyokong penubuhan Malaysia telah mula sedar dan memberi sokongankepada Malaysia.

Pingat

Sempena dengan perayaan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ini upacara penyampaian pingat telah diadakan. Seramai 16 orang menerima pingat tertinggi Sarawak iaitu Panglima Negara Bintang Sarawak yang membawa gelaran Dato. 

Antara yang menerima pingat ini adalah Dato Masniah Abang Abdul Rahman; Ketua Menteri Sarawak, Dato Stephen Kalong Ningkan;, Ketua Menteri Sabah, Dato Donald Stephens; Dato Temenggung Jugah anak Barieng; Dr Murugasu Sockalingam; Temenggung Oyong Lawai Jau; Abang Marzuki; Ling Beng Siew dan Edward Brandah.

Seramai 27 orang pula menerima Pegawai Bintang Sarawak, manakala 35 orang menerima Ahli Bintang Sarawak dan 104 pula menerima Sijil Kehormatan Negara.

Seperti yang telah dirancang, beberapa acara lain turut diadakan sempena sambutan tersebut, antaranya majlis jamuan teh di Astana, manakala acara regata mengamit penduduk Kuching untuk menyaksikannya. Sebelah petang pertandingan bola sepak kalah mati diadakan di Padang Jubliee.

Bersempena perayaan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ini. Persaudaraan MBHT telah mengadakan Pesta Ria Pesta selama lima hari.

Secara keseluruhannya, sambutan Ulang Tahun Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak membawa makna yang sangat signifikan kepada Sarawak kerana ia melambangkan kedaulatan tertinggi yang telah dicapai oleh negeri ini.

Walaupun berdepan ancaman keselamatan yang genting tetapi harapan merdeka dalam jiwa rakyat Sarawak membara pada sambutan itu.

Oleh itu, sambutan yang menjadi tradisi berzaman ini wajar dipelihara sebagai peringatan kepada generasi muda bahawa institusi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ialah lambang kedaulatan dan teras kesejahteraan Sarawak masa kini serta masa depan. 

Akhir sekali Selamat Menyambut Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri  Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Semoga Sarawak terus maju makmur dibawah pemerintahan Tun Pehin Sri.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.