Todak Berjaya julang ‘Raja Sungai’ Krian buat kali keempat, bawa pulang RM16,500

Facebook
WhatsApp
PERAHU Todak Berjaya milik Nur Hazirah Kasdi dinobatkan sebagai ‘Raja Sungai’ selepas muncul juara acara Bidar 30 Pekayuh pada Regata Krian sempena Pesta Saratok 2026 di Sungai Krian. Foto ADUN Krian

SARATOK, 5 Oktober: Perahu Todak Berjaya milik Nur Hazirah Kasdi terus mengukuhkan penguasaannya di Sungai Krian apabila dinobatkan sebagai ‘Raja Sungai’ selepas muncul juara Bidar 30 Pekayuh pada acara akhir Regata Krian sempena Pesta Saratok 2026, semalam.

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Todak Berjaya mengekalkan gelaran ‘Raja Sungai’ Krian buat tahun keempat berturut-turut, sekali gus membuktikan kehebatan dan konsistensi pasukan berkenaan dalam saingan tersebut.

Kemenangan itu membolehkan Todak Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM16,500 serta Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik.

Tempat kedua menjadi milik Lanun Dinara Cut yang dimiliki Cut dan Firdaus, dengan hadiah wang tunai RM9,900 berserta piala, manakala Landas Saga Sebuyo milik Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood menduduki tempat ketiga dan menerima hadiah RM4,400 serta piala.

Sementara itu, perahu Sinaran Burung Garuda menduduki tempat keempat, diikuti Barracuda di tempat kelima.

Kesemua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh ADUN Krian, Friday Belik. Turut hadir ialah ADUN Kalaka, Mohamad Duri.

FRIDAY Belik menyampaikan hadiah kemenangan ‘Raja Sungai’ berjumlah RM16,500 kepada Pengurus Pasukan Todak Berjaya. Foto ADUN Krian

Sebanyak 26 pasukan mengesahkan penyertaan dalam Regata Krian 2026, sekali gus menjanjikan persaingan sengit untuk merebut kejuaraan dan gelaran ‘Raja Sungai’.

Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah Todak Berjaya, Ratu Dang Hubu, Lanun Dinara Cut, Panglima Lanun, Sinaran Burung Garuda, Blue Marlin, Gerak Kilat dan Salem Jaya.

Turut berentap ialah Pancaran Sinar Pelangi, Maradona, Sinaran Kupang.com, Sinaran Baru Kampung Kaba, Sri Sarawak 1, Landas Cahaya Helang Tasik, Landas Saga Sebuyo dan Sri Sarawak 2.

Pasukan lain yang turut memeriahkan perlumbaan ialah Dinara Masyara, Barracuda, Lanun Dinara Cut 88, LCHT, Puteri Krian N39 Krian, Warisan Temudok Putri Bunut, Buloh Inn Permata Biru, Dang Esah Tandang Sari serta Raja Burung Terbai Laju.

Kejayaan Todak Berjaya bukan sahaja menambah koleksi kejuaraan pasukan itu, malah mengukuhkan reputasinya sebagai antara kuasa utama dalam arena perahu lumba di Sungai Krian.

Oleh Adi Safarman